BERITA SEMASA

KPT tidak akan bela pihak bersalah – Zambry

SEMENYIH – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan membela atau melindungi mana-mana pihak sekiranya terbukti wujud salah laku atau kecuaian dalam insiden kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 23.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya komited memberi kerjasama penuh kepada siasatan dijalankan Jawatankuasa Penyiasatan yang ditubuhkan oleh Kementerian Pertahanan dengan penglibatan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan.

Foto FB/Zambri Kadir

“KPT dan UTM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Kita mahu proses siasatan dilakukan secara telus dan menyeluruh.

“Kementerian tidak akan membela mana-mana pihak sekiranya terbukti berlaku salah laku atau kecuaian,” katanya selepas menziarahi keluarga Allahyarham di kediaman mereka di Taman Pelangi, di sini, hari ini.

Dalam kunjungan itu, Zambry menyampaikan ucapan takziah kepada ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, selain mendapatkan maklumat awal berhubung kejadian yang berlaku pada 28 Julai lalu di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Peperangan Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abdul Aziz; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Hirman Awang.

Dalam lawatan itu, YPS turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda keprihatinan.

Allahyarham Syamsul Haris disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi selepas tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan ketenteraan di bawah PALAPES.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button