BERITA SEMASA

Bayaran guru KAFA, takmir dan imam bukan gaji tetap – Zulkifli

KUALA LUMPUR – Bayaran kepada Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir dan imam bukan gaji tetap sebaliknya bantuan dalam bentuk elaun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, seramai 34,284 guru KAFA ketika ini menerima elaun RM1,100 sebulan manakala 47,052 guru takmir dibayar mengikut jumlah kelas pengajaran iaitu RM100 bagi setiap kelas.

Katanya, elaun bulanan bagi imam pula adalah RM850 sebulan.

“Kerajaan mengambil maklum peningkatan kadar gaji minimum kepada RM1,700. Namun, bayaran kepada guru takmir, guru KAFA dan imam bukan gaji tetap, sebaliknya bantuan berbentuk elaun.

“Kerajaan sentiasa meneliti dan menilai keperluan menaikkan kadar elaun berdasarkan kemampuan kewangan semasa negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Saad (PN–Baling) mengenai cadangan menaikkan elaun guru takmir kepada RM1,200 sebulan.

Menjawab soalan tambahan, Zulkifli berkata, kerajaan tidak bercadang menyediakan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk guru takmir kerana caruman KWSP hanya terpakai sekiranya individu memenuhi takrifan pekerja mengikut Akta KWSP 1991.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button