Krew NASA Crew-10 selamat mendarat di Lautan Pasifik
KUALA LUMPUR – Empat angkasawan daripada misi NASA Crew-10 selamat kembali ke bumi selepas mendarat di Lautan Pasifik, berhampiran pantai California, kelmarin.
Menurut kenyataan di laman web NASA, kepulangan angkasawan tersebut menandakan tamatnya misi rotasi kru ke-10 di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) di bawah Program Kru Komersial NASA selama lima bulan.
Mereka terdiri daripada angkasawan NASA, Anne McClain dan Nichole Ayers; angkasawan Agensi Penerokaan Angkasa Jepun (JAXA), Takuya Onishi serta angkasawan Roscosmos, Kirill Peskov.

Kapsul SpaceX Dragon yang membawa mereka mendarat pada jam 11.33 pagi waktu Amerika Timur (11.33 malam waktu Malaysia).
“Splashdown! Crew-10 kembali ke Bumi dari ISS menandakan satu lagi penerbangan berjaya.
“Misi kru kami adalah batu asas penerokaan jangka panjang, mendorong had keupayaan manusia.
“NASA memimpin dengan visi berani untuk membangunkan industri angkasa yang maju, menyokong stesen angkasa persendirian di orbit Bumi rendah, serta penjelajahan manusia ke bulan dan Marikh,” kata Pemangku Pentadbir NASA, Sean Duffy.
Sebaik mereka mendarat di lautan, pasukan penyelamat di kapal pemulihan SpaceX segera mengangkat kapsul ke atas kapal sebelum krew dibawa pulang ke daratan.
Dari situ, mereka berlepas ke Pusat Angkasa Johnson NASA di Houston untuk bertemu keluarga masing-masing.
Misi SpaceX Crew-10 dilancarkan pada 14 Mac dari Pusat Angkasa Kennedy, Florida, sebelum berlabuh di modul Harmony ISS pada 16 Mac.
Krew memulakan perjalanan pulang selepas meninggalkan ISS pada 8 Ogos.

Sepanjang berada di orbit, krew Crew-10 telah mengelilingi Bumi sebanyak 2,368 kali, menempuh jarak hampir 62.8 juta batu.
Ia merupakan penerbangan angkasa pertama bagi Ayers dan Peskov, manakala McClain dan Onishi masing-masing mencatat penerbangan kedua dengan jumlah masa di angkasa mencecah 352 hari dan 263 hari.
“Mereka menyumbang ratusan jam kepada penyelidikan saintifik, termasuk kajian pertumbuhan tumbuhan dan mikroalga, kesan radiasi angkasa terhadap DNA tumbuhan, perubahan struktur mata manusia dalam mikrograviti serta kajian sel tubuh.
“Penyelidikan ini membantu persediaan penerokaan manusia ke Bulan dan Marikh,” kata NASA lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







