Kementerian Pelancongan gantung lesen syarikat Emraz Travel
PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Emraz Travel & Tours Sdn Bhd selama enam bulan berkuatkuasa 10 Julai ini.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, lesen syarikat agensi pelancongan itu digantung sehingga 9 Januari 2024.
“Penggantungan lesen syarikat ini adalah selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] di bawah subseksyen 8(1)(d) iaitu telah menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.
“Dalam tempoh penggantungan lesen ini. Syarikat tidak boleh mengurusniagakan apa-apa perniagaan baharu seperti mengiklankan pakej umrah dan mengambil jemaah baharu untuk mengerjakan umrah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, dalam tempoh penggantungan lesen ini juga, syarikat tersebut dikehendaki mengambil tindakan memulangkan semula bayaran dan apa-apa dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan dengan syarikat serta membuat penjadualan semula penerbangan umrah yang tertangguh.
Beliau berkata, sekiranya didapati syarikat melanggar syarat ini, tindakan pembatalan lesen boleh diambil dan tiada pembaharuan lesen akan dibenarkan setelah habis tempoh lesen.