Tragedi kepala air: Adik terkilan gagal selamatkan kakak, maut pada hari lahir anak
KULIM – “Saya sangka kakak sudah selamat di tebing, rupa-rupanya dia dihanyutkan arus semula.”
Itu luahan penuh pilu Nur Arif Sukri, 26, yang terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan kakaknya, Nur Atikah Abdullah, 28, yang maut dalam tragedi kepala air di Sungai Sedim, di sini hari ini.
Lebih menyayat hati, Nur Atikah menghembuskan nafas terakhir pada hari ulang tahun kelahiran anak perempuannya, Nur Atiya Sofiya Shazwan yang genap berusia tujuh tahun.
Dalam tragedi kira-kira pukul 2 petang itu, Nur Atikah bersama sepupunya, Muhammad Aariz Danial Md Radzi, 3, ditemukan lemas, manakala seorang lagi mangsa ialah Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12.
Nur Arif berkata, kejadian berlaku terlalu pantas ketika mereka sekeluarga berkelah bagi meraikan sambutan hari lahir anak kakaknya itu.
Katanya, ketika itu seramai 10 ahli keluarga berada di lokasi dan mereka baru sahaja selesai menikmati makanan sebelum kakaknya memaklumkan ternampak fenomena kepala air.
“Secara tiba-tiba air menjadi deras. Ketika itu kira-kira lapan ahli keluarga termasuk kakak, abang ipar, anak saudara dan adik-adik lain sedang mandi di sungai.
“Saya berada di atas tebing sebelum terus terjun ke dalam air untuk membantu mereka. Pada mulanya saya sempat menarik dua adik yang berusia 12 dan lima tahun serta memeluk mereka, tetapi disebabkan arus terlalu kuat, pegangan saya terlepas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kulim.
BACA JUGA:
Kepala air sungai Sedim: 2 kanak-kanak antara 3 maut, siren amaran disahkan rosak
Menurutnya, kedua-dua kanak-kanak itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pengunjung yang berada di kawasan berkenaan.
“Saya sendiri turut dihanyutkan arus sebelum berjaya berpaut pada ranting dan dibawa ke tebing.
“Ketika itu saya nampak kakak sudah berada di tebing sungai. Saya ingat dia sudah selamat, tetapi tidak sangka selepas itu dia dihanyutkan arus sekali lagi,” katanya memetik laporan BH Online.
Dalam kejadian itu, tiga mangsa terkorban selepas dihanyutkan arus deras yang berlaku akibat fenomena kepala air ketika mereka sedang mandi di Sungai Sedim.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada fenomena kepala air yang berlaku secara tiba-tiba.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
