Bisnes & Ekonomi

Kadar OPR kekal: Kerajaan yakin ekonomi Malaysia terus berkembang

PUTRAJAYA – Kerajaan menyambut baik keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini.

Menurut Kementerian Kewangan, keputusan ini adalah selaras dengan perkembangan ekonomi global serta kadar inflasi di Malaysia yang menunjukkan trend penurunan dan kekal stabil.

“Tinjauan ekonomi global dipengaruhi risiko pertumbuhan global menjadi lebih periahan berikutan dasar monetari kebanyakan bank pusat yang kekal ketat dan pemulihan ekonomi China yang lebih perlahan daripada yang dijangkakan.

“Namun demikian, kerajaan yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada tahun 2023, disokong dengan tahap pengangguran yang semakin menurun serta peningkatan aktiviti ekonomi, khususnya pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, pelaksanaan projek kerajaan akan terus disegerakan untuk memacu kegiatan ekonomi.

“Dengan tahap OPR semasa pada 3.0 peratus, dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, pihak bank disarankan sentiasa peka akan kesusahan yang dihadapi peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan segera menyediakan kemudahan penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman mereka yang menghadapi masalah kewangan seperti yang disebut oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Peminjam boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” ujarnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button