Malam Malaysia Bersama Gaza dijangka tarik lebih 100,000 hadirin
KUALA LUMPUR – Sebuah acara besar bertemakan solidariti kemanusiaan terhadap Palestin akan berlangsung selama tiga hari di Dataran Merdeka bermula 22 hingga 24 Ogos ini, dengan malam kemuncaknya dijangka menghimpunkan lebih 100,000 orang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, acara kemuncak bertajuk Malam Malaysia Bersama Gaza dijadual berlangsung pada 23 Ogos dan akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya telah dimaklumkan oleh pihak Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bahawa mereka menjangkakan kehadiran melebihi 100,000 orang pada malam tersebut.
“Ini jelas menunjukkan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap isu Gaza dan perjuangan Palestin,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut Fahmi, acara tersebut bukan sahaja menjadi platform menyatakan solidariti, malah akan memaparkan pelbagai tayangan dan bahan pameran berkaitan sejarah perjuangan rakyat Palestin sejak dahulu hingga kini.
“Program ini akan berlangsung selama tiga hari dua malam dan saya telah minta pihak MAPIM supaya mengedarkan maklumat lengkap kepada rakan-rakan media.
“Saya juga menyeru semua pihak hadir beramai-ramai bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Palestin,” katanya lagi.
Tambah beliau, sokongan Malaysia terhadap Palestin, khususnya Gaza, tidak akan luntur dan akan terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif dan platform rakyat.
Program anjuran MAPIM itu akan memfokuskan kepada isu kemanusiaan di Gaza dan membawa mesej sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Maklumat lanjut mengenai pengisian sepanjang tiga hari program dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








