BERITA SEMASA

Kibaran Jalur Gemilang perlu ikut tatacara betul, elak salah faham

Kesalahan itu tidak wajar dipolitikkan

SEREMBAN – Isu kesilapan pemasangan Jalur Gemilang di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson baru-baru ini tidak sepatutnya dipolitikkan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bagaimanapun berkata, semua pihak seharusnya lebih berhati-hati ketika mengibarkan Jalur Gemilang supaya tidak berlaku kesilapan.

“Kita sememangnya memberi peringatan kepada semua orang supaya apabila kita kibarkan Jalur Gemilang, kibarkan secara betul dan dengan hormat. Mesti ada sensitiviti.

“Tapi kadangkala berlaku kesilapan yang mungkin tidak disengajakan dan kita serahkan kepada KPM (Kementerian Pendidikan) untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian selepas melancarkan Bulan Kemerdekaan Peringkat Parlimen Seremban di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Chan Wa, di sini hari.

Tambah beliau, Jalur Gemilang merupakan lambang identiti negara yang seharusnya dijaga dengan penuh bangga dan hormat dan bersempena Bulan Kebangsaan, semua pihak seharusnya menyemarakkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan memupuk semangat cintakan negara bermula dari peringkat sekolah.

Laporan media sebelum ini menyebut, sekolah berkenaan, SJKC Chung Hua sudah memohon maaf kepada seluruh masyarakat kerana kesilapan memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sekolah terbabit pada 1 Ogos lalu.

Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah dalam kenyataan mereka turut menyatakan kekesalan atas insiden tersebut dan memaklumkan bahawa kesilapan telah pun dibetulkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button