Lima pekerja lombong terperangkap akibat runtuhan ditemukan maut
SANTIAGO – Kesemua lima pekerja lombong tembaga El Teniente yang terperangkap akibat runtuhan minggu lalu ditemukan maut.
Insiden yang berlaku di lombong yang dimiliki syarikat perlombongan Cadelco itu berpunca daripada salah satu gegaran terbesar yang pernah direkodkan di El Teniente, dengan kekuatan 4.2 magnitud, lapor agensi Reuters.
Pengerusi Cadelco, Maximo Pacheco berkata, pihaknya akan mendapatkan khidmat pakar antarabangsa untuk menyiasat punca dan menentukan “apa kesilapan yang telah kami lakukan.”
“Kami adalah pihak pertama yang ingin tahu apa yang berlaku. Tragedi ini benar-benar memberi tamparan hebat kepada kami,” kata Pacheco dalam satu sdiang media di pejabat Codelco di bandar Rancagua, semalam.
Jumlah keseluruhan korban kini meningkat kepada enam orang, termasuk seorang yang maut ketika kemalangan berlaku pada Khamis malam, iaitu 70 jam sebelum mangsa terakhir ditemui.
El Teniente, yang berusia lebih 100 tahun dan memiliki simpanan tembaga bawah tanah terbesar dunia, meliputi kawasan seluas 4,500 kilometer yang terdiri daripada terowong dan laluan bawah tanah, hampir menyamai jarak antara Chile dan New York di Banjaran Andes.
Codelco merupakan pengeluar tembaga terbesar dunia, manakala Chile adalah pengeluar utama global yang membekalkan kira-kira satu perempat bahan mineral itu yang digunakan dalam industri pembinaan hingga elektronik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



