Polis tidak tolak kemungkinan buli punca kematian Zara Qairina
KOTA KINABALU – Polis tidak menolak kemungkinan terdapat unsur buli dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar, yang meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan asrama pada 16 Julai lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan yang kini berada di peringkat akhir turut menjurus kepada aspek persekitaran dan latar belakang hubungan sosial mangsa di sekolah berkenaan.
“Kita tidak menolak kemungkinan berlaku unsur buli. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dengan mengambil kira semua aspek.
“Setakat ini, lebih 60 saksi sudah diambil keterangan termasuk pelajar, guru dan staf sekolah,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Beliau turut menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya anak beliau atau anak individu kenamaan lain terlibat dalam insiden tersebut.
“Saya sahkan tiada anak saya yang bersekolah di sekolah berkenaan. Polis tidak menyiasat berdasarkan latar belakang keluarga, sebaliknya fokus kepada bukti dan maklumat yang diperoleh,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Jauteh berkata satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menjalankan siasatan terperinci sejak 18 Julai lalu, iaitu sehari selepas pelajar tersebut meninggal dunia di hospital.
“Kes ini libatkan pelajar sekolah yang masih di bawah umur dan sebahagiannya turut mengalami tekanan emosi.
“Oleh itu, kita jalankan siasatan dengan berhati-hati dan turut mendapatkan bantuan kaunselor semasa mengambil keterangan,” katanya lagi.
Tambah beliau, kertas siasatan juga telah dihantar ke Bukit Aman untuk penelitian dan pandangan lanjut daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Orang ramai mahukan keadilan dan ketelusan. Jadi kita tidak tergesa-gesa dalam menyimpulkan sesuatu. Kita mahu siasatan ini dilakukan secara profesional, adil dan menyeluruh,” katanya lagi.
Kes Zara Qairina mencuri perhatian ramai selepas tular dakwaan bahawa pelajar itu menjadi mangsa buli termasuk melibatkan beberapa individu dikenali sebagai ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dengan telus dan adil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







