KM3D 2025: FELDA perkasa komuniti luar bandar, julang desa ke pentas dunia
KUALA LUMPUR – FELDA terus melakar sejarah dalam agenda pembangunan luar bandar menerusi penganjuran Karnival Mega 3 Dimensi (KM3D) 2025, yang bakal membuka lembaran baharu dalam memperkasa komuniti desa agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Dalam satu kenyataan, FELDA menjelaskan KM3D merupakan detik penting dalam pelaksanaan transformasi organisasi dan perkhidmatan korporat agensi itu, sejajar dengan hasrat memperkasa komuniti luar bandar.
Menurut kenyataan itu, penganjuran karnival itu menggambarkan komitmen tinggi agensi dalam menyusun semula kekuatan institusi mengikut hala tuju Pelan Strategik FELDA 2025–2030.
“KM3D bukan sekadar sebuah pesta karnival atau platform pameran produk, tetapi juga merupakan manifestasi komitmen FELDA dalam menyusun semula kekuatan institusi dan meningkatkan mutu perkhidmatan korporat untuk menyokong aspirasi nasional,” menurut kenyataan itu.
Acara berskala nasional yang berlangsung bermula semalam hingga 3 Ogos di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu mengangkat tema “Desaku Mendunia”.
Uniknya, acara berkenaan menggabungkan tiga program utama negara iaitu Hari Peneroka FELDA (HPF), Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dalam satu platform.
Tambah kenyataan itu, aspek pemerkasaan peneroka terus menjadi fokus melalui penstrukturan semula organisasi, peningkatan kecekapan perkhidmatan serta penyesuaian terhadap keperluan teknologi dan komuniti moden.
“Menjelang penganjuran KM3D, salah satu pencapaian yang mencuri perhatian ialah kejayaan MARESMAF Wind Orchestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak, yang berjaya meraih Anugerah Emas dalam Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech.
“Pencapaian itu membuktikan potensi generasi muda luar bandar apabila diberi peluang dan sokongan secukupnya untuk bersinar di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, KM3D turut berperanan sebagai pentas utama untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif digital FELDA seperti SmartVillage, e-Kopex, serta penggunaan teknologi terkini seperti AI, IoT dan drone dalam pengurusan ladang.
Katanya, aplikasi MyDesaGo juga diperkenalkan bagi menghubungkan pasaran luar negara dengan pengeluar tempatan melalui jaringan digital bersama diaspora Malaysia.
“Pelbagai kemudahan turut diumumkan termasuk Geran Pengeksport Mikro FELDA, Dana Transformasi Digital dan Program Mobiliti Global yang dirangka untuk memperluaskan capaian produk usahawan FELDA ke pasaran antarabangsa.
“Gabungan program nasional seperti HPF dan KUD mencerminkan pendekatan integrasi pembangunan luar bandar secara menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kerjasama antara FELDA, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diyakini mampu memperkukuh landskap desa yang moden, digital dan berdaya saing dalam era pasca-pandemik.
“Keseluruhannya, Karnival Mega 3 Dimensi 2025 menjadi lebih daripada sekadar acara tahunan yang juga adalah simbol gerakan pembaharuan FELDA.
“Dari pemberdayaan warga peneroka, pendidikan anak-anak, pemodenan ekonomi, hinggalah kepada kebangkitan teknologi desa, FELDA tampil sebagai institusi pembangunan menyeluruh yang membawa nama desa ke persada antarabangsa.
“Dengan semangat “Desaku Mendunia”, FELDA membuktikan bahawa luar bandar bukan lagi sekadar wilayah pinggiran, tetapi pelantar kemajuan negara yang sebenar apabila diberi ruang, bimbingan dan kepercayaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Program Hari Peneroka FELDA pula diraikan dengan meriah, antaranya melalui pra-sambutan di Felda Tunggal, Johor yang menarik lebih 15,000 pengunjung.
Selain itu, Mini Karnival Madani di FELDA Wilayah Sahabat, Sabah, telah memperkukuh jaringan komuniti antara FELDA di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Katanya, Karnival Usahawan Desa (KUD) kali ini mencatat rekod penyertaan lebih 1,000 usahawan dari seluruh negara, dengan produk makanan, kosmetik, fesyen dan inovasi pertanian memenuhi ruang pameran.
“Lebih 100 aktiviti termasuk sesi padanan perniagaan, pitching pelaburan dan bengkel eksport turut dirangka.
“Konsert percuma yang menampilkan Aina Abdul dan Khai Bahar turut menyemarakkan pentas rakyat menjadikan suasana karnival bukan sekadar informatif, tetapi turut bersifat inklusif dan menghiburkan.
“Dalam masa yang sama, SDSI mempersembahkan pelbagai produk unik dari seluruh daerah termasuk kopi FELDA Moakil, makanan tradisional dari Gua Musang, batik dari Terengganu, dan tenunan eksklusif dari Pahang.
“Pameran ini menarik minat pelabur antarabangsa dari Jepun, UAE, Turki dan China, membuka potensi eksport baharu bagi produk desa,” tambah kenyataan itu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








