LUAR NEGARA

UK cadang iktiraf negara Palestin sekiranya Israel tidak laksana gencatan senjata

LONDON – United Kingdom akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi September depan sekiranya Israel tidak mengadakan gencatan senjata di Tebing Gaza dan komited terhadap pelan ‘dua negara’.

Kabinet Perdana Menteri Keir Starmer meluluskan satu pelan damai berkenaan setelah menerima tekanan hebat dari dalam negara berhubung krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan, serta desakan supaya mengikuti jejak langkah Perancis dalam mengiktiraf negara Palestin.

Keputusan itu susulan pertemuan Starmer dengan anggota Kabinetnya setelah beliau bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Scotland, lapor The Guardian.

Dalam pertemuan dengan manggota kabinetmya, Starmer dilaporkan sebagai berkata kini adalah “masa yang tepat untuk bertindak” berdasarkan keadaan bencana di Gaza dan prospek penyelesaian dua negara yang semakin pudar.

“Satu-satunya cara untuk menamatkan krisis kemanusiaan itu adalah melalui penyelesaian jangka panjang.

“Matlamat kami (UK) kekal iaitu sebuah Israel yang selamat dan terjamin, bersama sebuah negara Palestin yang berdaya maju dan berdaulat. Tetapi ketika ini, matlamat itu sedang terancam lebih daripada sebelumnya,” kata Starmer.

Starmer dijangka akan mengumumkan pengiktirafan negara Palestin sebelum Perhimpunan Agung PBB di New York September depan, kecuali Israel bersetuju dengan beberapa syarat dalam pelan damai lapan perkara yang diketuai UK dan disokong sekutu.

Antara syarat tersebut termasuk keperluan Israel mengambil “langkah konkrit” bagi menamatkan situasi kebulran di Gaza, mematuhi gencatan senjata, tidak melaksanakan pengambilalihan secara paksa wilayah di Tebing Barat, dan bersetuju terhadap proses damai jangka panjang.

Starmer telah menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum pengumuman tersebut dibuat.

Sementara itu, Kementerian Luar Israel malam tadi menyatakan bahawa mereka “menolak” kenyataan Starmer, yang menurut mereka di laman sosial X, memberi “kemenangan kepada Hamas”.

“Perubahan pendirian kerajaan Britain ketika ini, susulan langkah Perancis dan tekanan politik dalaman, merupakan satu kemenangan kepada Hamas dan menjejaskan usaha mencapai gencatan senjata di Gaza serta kerangka pembebasan tebusan,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button