LOCCO, SEASIA dan GNFI jalin kerjasama strategik kukuhkan naratif budaya serantau
KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh hubungan media serantau dan memperluas penceritaan budaya ASEAN menerima suntikan baharu apabila tiga entiti dari Malaysia dan Indonesia berganding bahu dalam membentuk kerjasama strategik.
Peneraju acara budaya terkenal tanah air, LOCCO telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dua platform berita positif digital dari Indonesia, Good News from Southeast Asia (SEASIA) dan Good News from Indonesia (GNFI).
Pengasas Bersama LOCCO, Shamsul Bahrin Zainuzzaman, yang juga penganjur utama acara Keretapi Sarong berkata, pihaknya komited untuk menyebarluaskan mesej perpaduan dan warisan budaya Malaysia ke peringkat serantau.
Jelas Shamsul, usaha berkenaan mampu direalisasikan menerusi kerjasama bersama dua platform media digital yang berpengaruh di Indonesia itu.
“Melalui kerjasama ini, SEASIA dan GNFI akan terus memaparkan kepelbagaian budaya serta tradisi Malaysia kepada penonton serantau.
“LOCCO pula akan memanfaatkan pengalamannya dalam mengatur strategi kreatif dan penganjuran acara, khususnya yang mampu mencetuskan impak budaya seperti Keretapi Sarong.
“Kerjasama ini adalah usaha membina jambatan positif dan penghargaan budaya di seluruh ASEAN,” kata Shamsul dalam satu majlis pemeteraian MoU berkenaan di ibu negara baru-baru ini.
Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Presiden Persatuan Pelancongan Kuala Lumpur (KLTA), Syed Azhar Syed Nazir, sekali gus mencerminkan iltizam bersama dalam memperkukuh kerjasama media serantau.
Mengulas lanjut, Shamsul berkata, Keretapi Sarong dimulakan untuk meraikan identiti Malaysia dan melalui kerjasama dengan SEASIA dan GNFI, usaha ini diteruskan bagi memupuk perpaduan dan kebanggaan di peringkat serantau.
“Keretapi Sarong bermula sebagai satu gerakan yang bertujuan meraikan identiti Malaysia, dan dengan kerjasama strategik bersama SEASIA serta GNFI, inisiatif ini diteruskan dengan matlamat untuk merentasi sempadan, sekali gus menyemarakkan perpaduan serta rasa bangga di seluruh rantau,” katanya.

Dengan capaian melebihi 200 juta tontonan bulanan, SEASIA dan GNFI dikenali sebagai platform berita digital positif bebas terkemuka di Indonesia.
Kerjasama strategik ini akan menyaksikan pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk kempen serantau, penglibatan pempengaruh serta penghasilan kandungan rentas budaya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ia turut merangkumi inisiatif berteraskan belia dan penghasilan bersama kandungan digital autentik yang menampilkan keunikan budaya serantau.
Sementara itu, Pengarah dan Pengasas SEASIA dan GNFI, Akhyari Hananto berkata, Malaysia dan Indonesia berkongsi akar budaya yang kukuh.
Justeru, katanya, melalui kerjasama tersebut, ia mampu memperkukuh penyampaian cerita serta berita positif yang merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
“Kerjasama ini membuktikan bahawa berita positif dapat disebarkan dengan lebih pantas dan berkesan apabila suara merentas negara bergabung.
“Malaysia dan Indonesia berkongsi akar budaya yang kaya, dan kami percaya kerjasama bersama LOCCO ini akan memperkukuh cerita dan berita positif yang mendekatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















