9 lagi mangsa berjaya dikeluarkan pasukan SAR negara di Turkiye
BANGI – Sekurang-kurangnya 9 mangsa gempa bumi di Turkiye berjaya dikeluarkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam tempoh kurang 48 jam yang lalu.
Melalui kemas kini terbaharu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) , pasukan itu berjaya mengeluarkan dua lagi mangsa selepas tujuh mangsa yang dikeluarkan pada 1 petang semalam.
Dua mangsa terbaharu itu dikeluarkan oleh Pasukan MAS-10 pada pukul 1 tengahari waktu tempatan.
“Kesemua mangsa yang dijumpai telah meninggal dunia. Salam Takziah,” menurut kenyataan Nadma di Facebooknya sebentar tadi.
Sebelum ini, pasukan SMART iaitu Charlie 01 dan Delta 01 berjaya mengeluarkan tujuh mayat yang ditemui sepanjang misi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar Nurdagi, Gaziantep.
“Kami berjaya mengeluarkan sebanyak tiga perempuan, dua lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.
Semalam, SMART berjaya mengeluarkan lima lagi mangsa maut dari runtuhan di Nurdagi menggunakan peralatan khas dan penggunaan jengkaut dengan kaedah memotong dan memecah.
Kelima-lima mangsa tersebut melibatkan seorang kanak-kanak, tiga wanita dan seorang lelaki dewasa.
Sementara itu, dalam hantaran tersebut, Ketua Pasukan MAS-10, PgKB II Abdul Manaf Che Isa menunjukkan beberapa peralatan yang akan digunakan untuk misi SAR serta sebahagian keanggotaan yang akan diaturgerak ke lokasi mencari dan menyelamat yang seterusnya.