BERITA SEMASA

Selepas misi ke Gaza, Farah Lee ke Afghanistan bantu mangsa gempa bumi

KUALA LUMPUR – Personaliti media sosial, Farah Lee, akan berlepas ke Afghanistan malam ini bagi menyertai misi bantuan pasca gempa bumi yang melanda wilayah Kunar, Afghanistan, baru-baru ini.

Misi bantuan tersebut dilaksanakan Pertubuhan Kebajikan FL (Childrity) dengan diketuainya selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Childrity dalam satu kenyataan berkata, misi itu akan memberi fokus kepada penyaluran bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi, selain melawat pembinaan rumah melalui projek MyKampung.

“Selain itu bantuan juga meliputi bantuan persediaan menghadapi musim sejuk,” kata kenyataan itu, hari ini.

Jelas kenyataan itu lagi, bencana berkenaan berlaku ketika misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dan ketika itu Farah Lee sudah menyatakan hasrat untuk ke Afghanistan sebaik misi itu tamat.

“(Ia) selepas menyedari bencana itu tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada masyarakat dunia disebabkan tumpuan global ketika itu hanya terarah kepada Gaza.

“Beliau menegaskan dalam perjuangan kemanusiaan, setiap nyawa adalah penting dan tidak harus diabaikan hanya kerana dunia sedang menumpu kepada satu krisis lain,” katanya.

Kenyataan itu menambah, gempa bumi bermagnitud 6.0 itu mengorbankan lebih 2,200 nyawa, mencederakan lebih 3,600 orang dan menjejaskan lebih 450,000 penduduk di wilayah Kunar dan Nangarhar.

Katanya, hampir keseluruhan kawasan perumahan di daerah terjejas dilaporkan musnah atau rosak teruk, menyebabkan ribuan keluarga kini hidup tanpa tempat berteduh dan bekalan asas.

“Kami akan terus komited membawa suara dan bantuan rakyat Malaysia ke mana-mana wilayah yang memerlukan perhatian dan pertolongan.

“Rakyat Malaysia diseru untuk terus berdoa, memberi sokongan moral dan menyalurkan sumbangan kepada misi ini supaya ia dapat dilaksanakan dengan selamat serta berkesan,” kata kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Farah Lee yang juga aktivis GSF dari Malaysia pernah ditahan tentera Israel sebelum dibebaskan ketika pelayaran misi bantuan ke Gaza, Palestin pada bulan lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button