BERITA SEMASA

ATM sedia diatur gerak bantu bangsa gempa bumi Afghanistan

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia diatur gerak bagi melaksanakan misi kemanusiaan membantu mangsa gempa bumi di Afghanistan sekiranya diperlukan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya sedang menanti keputusan mesyuarat membabitkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), hari ini.

“Pagi ini NADMA ada mesyuarat. Mereka akan bincang tetapi bagi ATM, kita bersiap siaga jika ada apa-apa keputusan dan arahan yang membabitkan untuk menghantar pasukan perubatan kita.

“Maka kita tunggu keputusan daripada NADMA,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Mengenai bentuk bantuan kemanusiaan, Mohamed Khaled berkata, ia bergantung kepada keperluan dan kesesuaian di lokasi terjejas.

“Tengok kepada kesesuaian, kesesuaian tempat macam Bangladesh kita lain, Turki kita lain, kita tengok dulu sama ada kita bawa hospital medan atau kita hantar pasukan perubatan sahaja, maka itu bergantung,” katanya.

Pada 31 Ogos lalu, satu gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda wilayah timur Afghanistan, khususnya di Kunar, Nangarhar, Laghman dan kawasan sekitarnya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan sebagai berkata, Malaysia bersedia menghantar bantuan kemanusiaan ke Afghanistan.

Katanya, beliau akan mengarahkan NADMA untuk mengatur gerak Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke lokasi bencana.

Beliau turut dilaporkan sebagai berkata, Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut diminta menyertai misi berkenaan selepas perkara itu dimaklumkan kepada Menteri Pertahanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button