BERITA SEMASAMALAYSIA MADANIPMX

Pengumuman PM mampu redakan tekanan kos sara hidup, rangsang ekonomi – penganalisis

KUALA LUMPUR – Beberapa langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sebagai tanda penghargaan buat rakyat disifatkan sebagai pendekatan menyeluruh dan seimbang dalam meredakan tekanan kos sara hidup serta merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.

Pengumuman itu termasuklah pemberian tunai RM100 secara one-off kepada semua warganegara dewasa di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), peruntukan tambahan RM300 juta untuk program Jualan Rahmah MADANI, penangguhan kenaikan tol, penekanan terhadap subsidi bersasar dengan harga minyak RON95 turun ke RM1.99 dan cuti umum pada 15 September sempena Hari Malaysia.

Pensyarah Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata, langkah-langkah tersebut bukan sahaja membawa manfaat segera kepada rakyat, tetapi juga memberi isyarat bahawa kerajaan komited membantu semua lapisan masyarakat secara inklusif sambil mengekalkan asas ekonomi negara yang mampan.

Dr Muhammad Irwan menyifatkan pengumuman PM mampu meredakan tekanan kos sara hidup dan merangsang ekonomi domestik.

“Pemberian tunai RM100 secara one-off kepada semua warganegara dewasa bukan sahaja meringankan beban hidup dalam jangka pendek, malah berperanan penting dalam merangsang penggunaan domestik yang merupakan tunjang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara,” jelasnya kepada Malaysia Tribune.

Katanya, dalam suasana ketidaktentuan global serta risiko tarif ke atas eksport Malaysia, pemberian ini dapat membantu menjana permintaan dalaman yang lebih stabil dan seterusnya menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Inisiatif ini juga selari dengan tindakan Bank Negara Malaysia yang baru-baru ini menurunkan Overnight Policy Rate (OPR) bagi menggalakkan aktiviti ekonomi negara,” tambah beliau.

Menurut Dr Muhammad Irwan, walaupun jumlah RM100 itu kecil dari segi nilai mutlak, ia tetap besar dari sudut mesej dan impak sosial kerana menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan mana-mana golongan, termasuk yang berada di luar kategori B40 atau M40.

Semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas layak menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara ‘one-off’.

“Ini juga membantu sedikit sebanyak meringankan beban kos sara hidup, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang mencabar,” ujarnya.

Mengulas mengenai peruntukan tambahan untuk program Jualan Rahmah MADANI yang meningkat daripada RM300 juta kepada RM600 juta, beliau menyifatkan langkah itu sebagai amat bermanfaat, khususnya kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

“Dengan dana yang digandakan, lebih ramai rakyat akan mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan.

“Ia secara langsung memberi kelegaan kepada mereka yang terkesan dengan kenaikan harga barang, meskipun kadar inflasi negara masih terkawal,” jelasnya.

Beliau turut menyentuh pengumuman cuti umum tambahan pada 15 September sempena sambutan Hari Malaysia yang menurutnya berpotensi merangsang sektor pelancongan domestik serta perbelanjaan isi rumah.

“Dengan cuti sekolah yang bersambung, ini membuka peluang kepada rakyat untuk melancong dalam negara, sekali gus membantu peniaga dan perniagaan tempatan menjana pendapatan tambahan,” katanya.

Mengulas isu tol, Dr Muhammad Irwan memuji langkah kerajaan membekukan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya yang sepatutnya naik tahun ini, dan menyifatkannya sebagai langkah proaktif yang sangat melegakan rakyat.

“Ini bermakna kos perjalanan tidak meningkat dan kerajaan sendiri sanggup menanggung lebih RM500 juta bagi memastikan kadar tol kekal.

“Tindakan ini benar-benar menunjukkan komitmen kerajaan melindungi kebajikan rakyat, terutama golongan pekerja yang berulang-alik setiap hari di kawasan bandar,” katanya.

Dalam aspek subsidi pula, beliau menekankan kepentingan pendekatan bersasar seperti yang sedang dilaksanakan dalam rasionalisasi subsidi bahan api RON95.

Kadar harga minyak RON95 yang diturunkan kepada RM1.99 seliter memberi kelegaan buat rakyat.

“Penstrukturan subsidi secara bersasar adalah penting untuk memastikan ia lebih mampan dan tidak membebankan kewangan negara.

“Penjelasan kerajaan bahawa 85 peratus pengguna domestik akan menikmati penurunan bil elektrik bermula Julai 2025 juga penting untuk menangkis persepsi negatif terhadap dasar ini,” jelasnya.

“Secara keseluruhan, saya berpendapat pakej ini bukan sahaja memberi bantuan segera kepada rakyat tetapi turut mencerminkan keupayaan kerajaan menyeimbangkan antara keperluan jangka pendek dan matlamat pembaharuan fiskal jangka panjang,” kata Dr Muhammad Irwan sebagai rumusan.

Pengumuman langkah-langkah tersebut dibuat Perdana Menteri dalam satu siaran langsung pagi tadi sebagai sebahagian daripada strategi jangka pendek kerajaan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi rakyat dan negara.

Ia dilaksanakan selari dengan prinsip Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan keadilan sosial, kecekapan perbelanjaan awam dan reformasi struktur fiskal negara secara berperingkat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button