LUAR NEGARA

Nahas Jeju Air berpunca daripada ‘kesilapan juruterbang’

SEOUL – Pasukan penyiasat nahas pesawat Jeju Air Disember lalu mempunyai “bukti jelas” bahawa nahas tersebut disebabkan oleh kesilapan juruterbang.

Laporan Reuters yang memetik sumber berkata, bukti menunjukkan juruterbang pesawat malang itu mematikan enjin yang kurang rosak selepas insiden pelanggaran dengan burung.

Sumber itu berkata, bukti termasuk perakam suara kokpit, data komputer dan suis enjin fizikal yang ditemukan dalam serpihan menunjukkan juruterbang telah mematikan enjin kiri dan bukannya enjin kanan semasa mengambil langkah kecemasan selepas pelanggaran dengan burung, sejurus sebelum pesawat dijadualkan mendarat.

“Pasukan penyiasat mempunyai bukti kukuh dan data sokongan, jadi penemuan mereka tidak akan berubah,” kata sumber itu kepada Reuters dengan syarat tidak dinamakan kerana pihak penyiasat belum mengeluarkan laporan rasmi nahas berkenaan.

Sementara itu, satu lagi sumber kerajaan berkata, pemeriksaan terhadap enjin pesawat yang ditemukan menunjukkan tiada kecacatan sebelum pelanggaran burung dan nahas berlaku.

Nahas pada 29 Disember membabitkan pesawat Boeing 737-800 di Lapangan Terbang Muan itu meragut nyawa kesemua kecuali dua daripada 181 penumpang dan anak kapal, menjadikannya bencana udara paling dahsyat di tanah Korea Selatan.

Penyiasat memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa dalam satu taklimat kelmarin bahawa enjin kanan mengalami kerosakan lebih teruk akibat pelanggaran burung berbanding enjin kiri, dan terdapat bukti keadaan yang menunjukkan juruterbang telah mematikan enjin kiri yang kurang rosak, menurut sumber ketiga yang hadir dalam taklimat itu.

Media tempatan termasuk MBN dan Yonhap turut melaporkan maklumat tersebut semalam dan kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Penyiasatan Kemalangan Penerbangan dan Kereta Api Korea Selatan (ARAIB) yang mengetuai siasatan, belum memberi sebarang maklum balas terhadap laporan media berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button