4 lokasi di Selangor, Negeri Sembilan catat IPU tidak sihat
KUALA LUMPUR – Empat kawasan di Selangor dan Negeri Sembilan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 9 pagi tadi.
Menurut laman Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan paling terjejas ialah Nilai dengan bacaan IPU 156, diikuti Johan Setia (155), Port Dickson (153) dan Banting (151).
Situasi itu susulan fenomena jerebu rentas sempadan yang kini mula melanda beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, sebelum ini memaklumkan bahawa laporan dari Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) mengesan sebanyak 79 titik panas di kawasan Sumatera, Indonesia.
“Keadaan ini berkemungkinan besar menjadi punca utama kepada jerebu yang kini melanda negara, berpunca daripada tiupan angin monsun barat daya yang membawa asap rentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk menghadkan aktiviti luar, terutama golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan.
“Penggunaan penutup hidung dan mulut (topeng muka) serta pengambilan air yang mencukupi turut disarankan bagi mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan,” katanya lagi.
JAS dan MetMalaysia memaklumkan pemantauan rapi akan diteruskan dan perkembangan terkini berhubung kualiti udara boleh disemak melalui portal rasmi APIMS di https://apims.doe.gov.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








