BERITA SEMASAPMX

Kerap tukar kerajaan bukan cara Islam, ulama mahu pentadbiran Anwar kekal

PUTRAJAYA – Rakyat diseru mengekalkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi kestabilan negara, khususnya dalam pembangunan ekonomi dan kelangsungan institusi pendidikan Islam, ketika suhu politik kembali memuncak menjelang perhimpunan besar anjuran pembangkang pada 26 Julai ini.

Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah menyuarakan kebimbangannya terhadap usaha berterusan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pada penghujung 2022.

Rakyat diseru mengekalkan kepimpinan Anwar demi kestabilan negara khususnya dalam pembangunan ekonomi dan kelangsungan institusi pendidikan Islam.

Bahkan beliau menyifatkan tindakan menukar kerajaan secara kerap bukan budaya Islam.

Beliau berkata, pertukaran kerajaan yang terlalu kerap bukan sahaja merencatkan ekonomi, malah turut menjejaskan perkembangan institusi pendidikan Islam seperti sekolah pondok.

“Kita di Malaysia ini lima tahun satu kerajaan, (kadang-kadang) dua atau setahun satu kerajaan.

“Dasar berubah menyebabkan pondok pun lemah dan malap. Ekonomi malap. Ini bukan cara Islam,” tegasnya ketika menyampaikan ceramah dalam Program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra di sini malam tadi.

Orang ramai mengerumuni Anwar untuk bersalaman dengan beliau.

Program itu turut menyaksikan kehadiran ribuan jemaah yang menurut Syeikh Wazir, mencerminkan sokongan padu umat Islam terhadap kepimpinan semasa.

“Insya-Allah semua rintangan dan cabaran di negara ini dapat diselamatkan. Kerajaan pimpinan Datuk Seri (Anwar) dapat diselamatkan,” katanya.

Mengimbas kembali hubungan peribadinya dengan Anwar, ulama pondok yang pernah menuntut dan menetap di Pakistan selama 13 tahun itu turut berkongsi satu kenangan istimewa.

“Antara bantuan paling saya ingat ialah sumbangan kewangan beliau kepada pelajar-pelajar ASEAN di Pakistan. Kebaikan ini diteruskan beliau sampai sekarang,” jelasnya.

Sementara itu, pihak pembangkang dijangka mengadakan Himpunan Turun Anwar di ibu negara dengan sasaran kehadiran dinaikkan kepada 300,000 orang berbanding anggaran awal 50,000 peserta.

Mengulas perkara itu, Perdana Menteri semalam mencabar mana-mana pihak yang ingin mengambil alih tampuk pemerintahan agar mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat, bukan menggerakkannya jalanan.

“Kalau benar ada kekuatan, sila kemukakan di Parlimen. Kalau gagal, tunggulah pilihan raya umum akan datang,” tegas Anwar.

Malaysia menyaksikan ketidakstabilan politik yang ketara sejak PRU ke-14 pada 2018 dengan tiga kali pertukaran kerajaan dalam tempoh lima tahun.

Situasi itu turut memberi kesan kepada dasar-dasar pembangunan dan pentadbiran institusi agama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button