Berita Semasa

MCMC beri amaran tidak muat turun aplikasi ‘Pink Whatsapp’

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi amaran kepada orang awam agar tidak memuat turun aplikasi ‘Pink WhatsApp’.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini berkata, modus operandi aplikasi berkenaan adalah dengan menawarkan ciri keselamatan serta privasi yang lebih baik.

Bagaimanapun, selepas dimuat turun aplikasi berkenaan boleh mengakses pelbagai item dalam telefon pintar pengguna seperti gambar, SMS dan senarai kenalan seterusnya membawa kepada risiko keselamatan yang serius.

“Para pengguna akan menerima mesej dan pautan seolah-olah datang daripada WhatsApp yang mengajak pengguna untuk mencuba aplikasi baharu tersebut.

“MCMC menasihatkan pengguna untuk tidak memuat turun dan memasang aplikasi ”Pink WhatsApp” tersebut, dan segera membuang aplikasi berkenaan sekiranya ia telah dipasang dalam telefon pintar mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah MCMC, orang ramai disyorkan untuk  hanya memuat turun aplikasi mudah alih daripada gedung aplikasi rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.

“Pengguna juga diminta untuk tidak menyebarluaskan sebarang pautan yang mencurigakan.

“MCMC ingin menekankan kepentingan untuk berhati-hati ketika menggunakan aplikasi mudah alih, mengambil langkah-langkah pencegahan untuk melindungi maklumat peribadi, serta mengelak daripada memuat turun aplikasi tersebut,” katanya.

Maklumat dan aduan mengenai aplikasi “Pink WhatsApp” boleh disalurkan melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my/#/public/main atau talian hotline di 1800- 188-030.

Show More

Related Articles

Back to top button