LUAR NEGARA

CEO, boss HR kantoi ketika konsert Coldplay

BOSTON – Konsert Coldplay di Gillette Stadium di sini kelmarin secara ‘tidak sengaja’ mendedahkan kemungkinan wujudnya hubungan sulit antara dua pegawai tertinggi sebuah entiti korporat di Amerika Syarikat (AS).

Ketika konsert sedang berlangsung, ‘kiss cam’ di stadium berkenaan secara tidak sengaja terakam aksi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astronomer, Andy Byron sedang berpelukan dengan Ketua Pegawai Sumber Manusia syarikatnya, Kristin Cabot.

Reaksi cemas mereka disusuli dengan komen vokalis Coldplay, Chris Martin mencetuskan spekulasi hubungan sulit yang kini menjadi bualan hangat di seluruh dunia.

Lebih panas, beberapa bekas kakitangan Byron ketika beliau berkhidmat di syarikat Cybereason mendakwa, beliau mempunyai sejarah kepimpinan toksik, termasuk mengugut pekerja dan menyalah guna kuasa.

Dakwaan ini memburukkan lagi persepsi umum terhadap peribadi dan gaya kepimpinan Byron.

Tambah kontroversi apabila isteri Byron turut dilaporkan memadam nama keluarga suaminya dari media sosial dan menutup akaun Facebook miliknya selepas insiden itu.

Ramai netizen menyuarakan simpati terhadapnya dan mengecam tindakan Byron yang dianggap mencemarkan nama baik keluarga dan syarikat.

Setakat ini belum ada lagi sebarang kenyataan rasmi daripada kedua-dua Byron dan Cabot walaupun tekanan daripada umum dan pelabur semakin memuncak.

Dengan reputasi peribadi dan profesional yang kini dipersoal, ramai pemerhati industri menunggu langkah seterusnya daripada pihak syarikat Astronomer iaitu sama ada akan mempertahankan CEO mereka atau mengambil tindakan tegas demi menjaga integriti organisasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button