BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Sistem Alamat Nasional dijangka jana limpahan ekonomi RM2 bilion, lebih 2,000 pekerjaan – Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) dijangka mampu menjana limpahan ekonomi berjumlah RM2 bilion dan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, anggaran itu berdasarkan dapatan awal Kajian Pelaksanaan NAS yang sedang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurutnya, sistem berpusat dan berpandukan piawaian itu bakal memberi manfaat besar bukan sahaja kepada sektor e-dagang dan logistik, malah turut memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam termasuk operasi kecemasan.

“NAS bukan sekadar menyelesaikan cabaran semasa seperti kesukaran penghantaran atau kelewatan tindak balas kecemasan, malah ia mampu menjana peningkatan produktiviti dan daya saing negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 anjuran MCMC di sini, hari ini.

Katanya, Malaysia kini memiliki kira-kira 12 juta alamat namun maklumat yang disimpan pelbagai agensi tidak berpusat dan tidak seragam, menyebabkan pelbagai isu operasi termasuk dalam sektor kurier dan utiliti.

“Dengan NAS, setiap alamat akan digeokod dan diberi pengecam lokasi unik mengikut piawaian MS2039, sekali gus memastikan ketepatan dan keseragaman data di seluruh negara,” jelas beliau.

Fahmi turut memaklumkan MCMC telah diarahkan melaksanakan Pelan Anjakan NAS melalui projek perintis di beberapa lokasi terpilih bagi menguji pelaksanaan model sistem itu dari segi tadbir urus, integrasi data dan teknikal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button