Telco akan tandatangani perjanjian pegangan ekuiti dalam DNB menjelang pertengahan Oktober – Fahmi
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital Mohd Fahmi Fadzil memaklumkan semua syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini dijangka akan menandatangani perjanjian langganan saham ke atas pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) pada pertengahan bulan ini.
Menurut Fahmi, perjanjian itu perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum perbincangan lanjut mengenai rangkaian 5G kedua boleh dilakukan.
“Langkah pertama ialah menandatangani, saya dimaklumkan oleh pasukan petugas bahawa jika semua perkara berjalan lancar, (akan berlaku) sebelum pertengahan bulan ini, mudah-mudahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Rangkaian Peribadi 5G Komersial Pertama di Malaysia oleh Petronas di Majlis berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ditanya mengenai adakah kerajaan sudah menerima permintaan cadangan bagi rangkaian kedua 5G, Fahmi berkata, perbincangan berhubung perkara tersebut masih berjalan.
“Saya tidak boleh mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai perkara ini kerana perbincangan itu sangat dinamik dan sedang dipantau oleh pasukan petugas 5G yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (Datuk Mohamad Fauzi Isa) serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Datuk Johan Mahmood Merican).
Pada Mei lalu, kerajaan telah bersetuju supaya pelaksanaan rangkaian 5G negara beralih daripada Rangkaian Borong Tunggal (SWN) kepada model dwirangkaian.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarat utama yang ditetapkan ialah peralihan kepada model dwirangkaian hanya akan berlaku selepas pelaksanaan oleh DNB mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.
Sehingga september tahun ini, rangkaian 5G di Malaysia telah mencapai liputan 70.2 peratus di kawasan berpenduduk, dengan jumlah pengguna sebanyak 2.49 juta pelanggan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








