SCORE Marathon 2025: Pelari amatur negara curi tumpuan tewaskan lebih 33,000 peserta
PUSAT pentadbiran negara, Putrajaya bergema dengan semangat luar biasa apabila SCORE Marathon 2025 anjuran AIA Vitality melabuhkan tirainya Ahad lalu dengan mencatat penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjurannya.
Secara keseluruhan, seramai 33,000 peserta dari 48 buah negara mengambil bahagian dalam acara larian paling berprestij itu.
Lebih membanggakan apabila pelari muda negara, Sivaneshwaran Gunasegaran muncul juara keseluruhan kategori lelaki apabila berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 42 kilometer.

Walaupun ini merupakan penyertaan pertamanya dalam acara larian maraton penuh, Sivaneshwaran membuktikan kemampuan diri yang sukar ditandingi.
Mengangkat tema Conquer Your Next Challenge (Tawan Cabaran Seterusnya), acara ini juga menjadi platform buat Sivaneshwaran merealisasikan impian.
Beliau bukan sekadar menamatkan larian tetapi berjaya mencatat masa cemerlang 2 jam 48 minit 8 saat (2:48:08) sekali gus menewaskan ramai peserta berpengalaman yang lain.
“Saya hanya mahu layak ke satu acara maraton di Vietnam hujung tahun ini yang ditaja kelab larian saya. Mereka menetapkan masa bawah tiga jam.
“Saya sendiri tak sangka mampu menamatkannya, apatah lagi menang. Ini hasil latihan selama tiga ke empat bulan termasuk larian jarak jauh dan latihan kecergasan intensif,” ujar Sinaeshwaran yang sebelum ini hanya menyertai acara 10km dan 21km.
Tempat kedua dan ketiga dalam kategori lelaki disandang oleh Lim Kok Leong dengan catatan masa 2:51:00 dan Muhamad Naqib Haikal Abdul Rahman (2:51:28).

Bagi kategori wanita, Lee Siok Chin turut mencipta sensasi apabila menamatkan perlumbaan dengan masa 3:17:17, menewaskan Vu Khanh Linh dari Vietnam (3:21:54) dan Diana Qistina Redza (3:35:53).
Sementara itu, Wan Izzul Syahrulyuzi Wan Rusley dan Nur Amelia Musa masing-masing muncul juara bagi kategori separuh maraton 21km.
Turut kelihatan di garisan penamat ialah bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyertai kategori 21km dan menamatkan perlumbaan dengan masa 2:44:17.
“Satu larian yang sukar. Ramai sangka jalan Putrajaya rata, tetapi sebenarnya banyak laluan berbukit,” kata Khairy sambil memuji penganjuran acara yang menurutnya kini bertaraf antarabangsa.
“SCORE Marathon merupakan antara maraton terbaik di Malaysia. Ketika saya di Kementerian Belia dan Sukan dahulu, ia masih baru. Sekarang sudah berada di pentas dunia,” ujarnya.
Edisi kali ini merupakan tahun pertama SCORE Marathon mendapat pengiktirafan sebagai World Athletics Label Road Race dan turut tersenarai dalam siri AbbottWMM Wanda Age Group World Rankings iaitu membolehkan peserta mengumpul mata untuk kedudukan global.
Sebagai ahli kepada Persatuan Maraton dan Larian Jarak Jauh Antarabangsa (AIMS), penganjur terus mengekalkan piawaian dunia termasuk inisiatif kelestarian alam sekitar.
Antaranya termasuk penggunaan baju penamat mesra alam daripada benang bio, pingat daripada bahan kitar semula (hasil kerjasama dengan Natureloop) dan pengumpulan semula lebih 1,150kg plastik pada edisi 2024 iaitu bersamaan lebih 46,000 botol plastik.

Selain perlumbaan, acara itu turut menampilkan Race Village yang meriah dengan aktiviti kecergasan, gerai makanan sihat dan reruai penaja yang menjadikannya bukan sekadar larian tetapi juga sambutan komuniti dan gaya hidup sihat.
SCORE Marathon 2025 turut menerima sokongan padu daripada jenama besar seperti AIA Malaysia, 100PLUS, Pressio, Brooks, N8, ATF Sport Taping, Counterpain, HeyJom serta penyertaan sulung EVA AIR sebagai Penaja Kategori 5KM.
Ketua Pegawai Eksekutif Score Sports Management, Patricia Tan menyifatkan kejayaan tahun ini sebagai manifestasi sebenar tema penganjuran.
“Conquer Your Next Challenge bukan sekadar slogan. Ia hidup dalam semangat 33,000 peserta yang melangkah ke garisan permulaan dan memberi inspirasi kepada semua,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, layari www.scoremarathon.com atau ikuti @scoremarathon di Instagram dan Facebook.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


