BERITA SEMASALUAR NEGARA

Perkongsian syiling Malaysia oleh CIA cetus spekulasi netizen

KUALA LUMPUR – Tindakan luar biasa Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) memuat naik gambar tiga keping duit syiling Malaysia di akaun rasmi X milik mereka malam tadi menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial di negara ini.

Gambar yang dikongsi itu memaparkan syiling 20 sen dengan lakaran menyerupai orang lidi dan simbol ‘S’ di kepala, syiling 10 sen dengan tulisan sukar difahami serta syiling 5 sen yang mempunyai tapak kaki haiwan menjadi elemen yang mencetuskan pelbagai tafsiran.

Seorang pengguna X, @Ispitzionist turut mempersoalkan motif hantaran tersebut dan menggesa agar Jabatan Perdana Menteri memantau tindakan CIA yang dilihat mencurigakan.

“Apakah sebenarnya yang cuba kamu sampaikan di sini? Adakah ini cara kamu nak kata, ‘Kami sedang memerhati kamu, Malaysia, jadi jangan cuba buat hal’?” soalnya.

“@jpmgov_ patut arahkan MEIO (Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia) pantau CIA ini sebab langsung tak boleh dipercayai,” katanya lagi.

Menerusi hantaran sama, CIA memberi tajuk Artifak Minggu Ini: Syiling yang Ditinggalkan di Patung Nathan Hale merujuk kepada sebuah patung ikonik di luar ibu pejabat asal agensi itu.

Menurut mereka, patung Nathan Hale yang dianggap ‘pegawai risikan pertama negara’ sering menjadi lokasi tradisi simbolik oleh para ejen CIA.

“Patung itu menggambarkan detik-detik sebelum Hale dijatuhi hukuman mati. Dia berdiri dengan tangan dan kaki terikat, wajahnya tegas memandang ke ufuk tanda bersedia berkorban demi negaranya,” tulis CIA.

Tradisi pelik itu melibatkan pegawai CIA yang akan meninggalkan sekeping syiling di kaki patung sebelum berlepas ke luar negara, kononnya bagi membawa tuah dan perlindungan dalam misi mereka.

Kebiasaannya, syiling 25 sen AS dengan wajah George Washington iaitu panglima Hale dalam Perang Revolusi Amerika digunakan.

Namun, ada juga yang meninggalkan 76 sen sebagai penghormatan kepada tahun 1776 atau wang syiling asing seperti yang dipaparkan dalam gambar terbaru ini.

Perkongsian tersebut sekaligus menimbulkan spekulasi sama ada kehadiran syiling Malaysia itu membawa maksud tersirat yang berkait dengan misi tertentu CIA di negara ini.

Untuk rekod, CIA bertanggungjawab mengumpul maklumat risikan dari luar negara, menyokong dasar luar AS serta melaksanakan operasi khas dan rahsia termasuk misi pengaruh politik di negara asing apabila diarahkan oleh kerajaan Amerika Syarikat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button