HIBURANLUAR NEGARA

Pelakon Korea Selatan, Kang Seo-ha meninggal dunia akibat kanser perut

SEOUL – Dunia hiburan Korea Selatan berduka dengan pemergian bintang muda berbakat, Kang Seo-ha, 31, yang meninggal dunia akibat kanser perut, kelmarin.

Pemergian aktres yang dikenali menerusi drama popular Heart Surgeons dan First Love Again itu disahkan agensinya dalam kenyataan ringkas menyatakan mendiang telah menjalani rawatan sejak beberapa tahun lalu namun memilih untuk merahsiakan keadaan kesihatannya daripada perhatian umum.

“Meskipun sedang menanggung kesakitan, Kang Seo-ha tetap menunjukkan komitmen tinggi terhadap lakonan dan tidak pernah mendedahkan penderitaan yang ditanggungnya.

“Kami kehilangan seorang artis yang bukan sahaja berbakat tetapi juga berdedikasi sepenuh jiwa,” lapor portal hiburan Korea, Soompi.

Difahamkan, Kang Seo-ha masih sempat menyiapkan penggambaran filem Magnaein, di mana mendiang memegang watak utama iaitu projek terakhirnya sebelum meninggal dunia.

Seo-ha merupakan graduan Fakulti Drama Universiti Seni Kebangsaan Korea dan mula mencuri perhatian sejak kemunculan awalnya dalam muzik video Getting Farther Away nyanyian kumpulan Brave Guys pada tahun 2012.

Namanya terus melonjak dengan deretan drama bersiri seperti Schoolgirl Detectives, Assembly, Flowers of the Prison, Through the Waves, Nobody Knows dan First Love Again yang mencerminkan kebolehannya membawakan pelbagai watak.

Upacara penghormatan dan pengebumian mendiang berlangsung di Dewan Persemadian Hospital St. Mary, Seoul.

Majlis pengebumian akan diadakan secara tertutup esok atas permintaan keluarga dan mendiang akan disemadikan di tanah perkuburan keluarga di Haman, Wilayah Gyeongnam.

Pemergian Seo-ha turut diratapi rakan-rakan artis dan peminat yang membanjiri ruangan komen di akaun Instagram beliau dengan ucapan takziah dan penghargaan atas karya-karya yang ditinggalkan.

“Kang Seo-ha mungkin telah pergi, tetapi senyumannya, lakonannya dan semangatnya akan terus hidup dalam ingatan kami,” tulis seorang peminat di portal Koreaboo.

Mendiang dikenang bukan sahaja kerana bakatnya, tetapi juga ketabahan dan komitmen luar biasa di sebalik layar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button