Rafizi Ramli puji prestasi tiga kementerian di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memuji prestasi tiga kementerian utama dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang menurutnya menunjukkan kecekapan pengurusan dan hala tuju jelas dalam melaksanakan dasar kerajaan.
Katanya dalam satu podcast bersama Iswardy Morny, Ahad lalu, kementerian yang dimaksudkan ialah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Menurut Rafizi, kementerian-kementerian itu bukan sahaja menunjukkan tahap keberkesanan yang tinggi malah berjaya melaksanakan dasar-dasar yang memberi impak langsung kepada rakyat.
“Kalau tanya saya secara jujur, saya berpuas hati dengan prestasi beberapa kementerian yang saya anggap berjaya mengurus kementerian mereka dengan baik dan menyampaikan dasar secara konsisten,” katanya.
Menurut beliau, KDN di bawah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berjaya mengimbangi antara isu keselamatan negara dan keperluan hak asasi manusia manakala KESUMA pula dilihat agresif dalam menangani isu pekerja asing dan pasaran buruh.
“Kalau kita tengok KDN misalnya, sejak di bawah kepimpinan sekarang, banyak perubahan dilakukan dari segi pengurusan isu keselamatan dan imigresen,” katanya.
Beliau turut berkata, KESUMA berjaya menangani isu ketenagakerjaan dengan pendekatan yang lebih tersusun manakala NRES pula dilihat lebih proaktif dalam soal kelestarian alam sekitar dan sumber asli negara.
“Bagi NRES, saya lihat menterinya aktif menjelaskan polisi kepada orang ramai serta konsisten dari segi pelaksanaan,” katanya lagi.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, meskipun masih ada ruang untuk penambahbaikan, kementerian-kementerian tersebut telah menunjukkan prestasi yang konsisten dan progresif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













