Wanita, anak cedera bas Smart Selangor terbalik di Bukit Sentosa
HULU SELANGOR – Seorang wanita bersama anak perempuannya cedera ringan selepas bas Smart Selangor yang dinaiki mereka terbalik di Jalan Tulip 3, Bukit Sentosa, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 11.16 pagi.
Menurut beliau, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dan unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.
“Kemalangan membabitkan sebuah bas Smart Selangor yang dipercayai terbabas sendiri di selekoh sebelum terbalik.
“Kejadian menyebabkan seorang wanita berusia 38 tahun dan anak perempuannya berusia 9 tahun mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Dalam insiden sama, pemandu bas berusia 57 tahun dan seorang lagi penumpang lelaki berusia 17 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








