Gempa bumi Turkiye: Pasukan penyelamat China bantu operasi SAR
ADANA, Turkiye – Sepasukan anggota penyelamat dari China tiba awal pagi tadi (waktu tempatan) bagi membantu melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan bencana gempa bumi.
Pasukan yang terdiri daripada anggota Pasukan Bomba dan Penyelamatan Beijing, Pusat SAR Kecemasan Gempa Bumi China dan Hospital Am Kecemasan itu dianggotai oleh 82 anggota.
Antara peralatan yang turut dibawa termasuk alat komunikasi dan perubatan seberat 20 tan serta empat ekor anjing pengesan, dan kelengkapan hospital bergerak.
Sebaik tiba di lokasi, pasukan itu mengadakan perbincangan dengan kerajaan tempatan, kedutaan China serta agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menetapkan sasaran misi serta membina markas sementara.
Menurut Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China (CIDCA), kerajaan China segera menggerakkan mekanisme bantuan kemanusiaan dan menyediakan bantuan kecemasan kepada Turkiye dan Syria berikutan bencana gempa bumi yang melanda kedua-dua negara itu.
Naib Pengetua CIDCA, Deng Boqing berkata, pihaknya akan menyediakan bantuan kecemasan berjumlah RMB40 juta (RM25 juta) di bawah fasa pertama bantuan kepada Turkiye.
“China akan terus menyediakan bantuan semampu yang boleh kepada kedua-dua negara itu berasaskan perkembangan bencana dan keperluan,” kata beliau.