Nurul Izzah janji bela remaja dakwa diganggu ustaz selebriti
PETALING JAYA – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar memberi jaminan untuk membela nasib seorang remaja perempuan yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang individu bergelar ustaz selebriti.
Menurut Nurul Izzah, remaja terbabit yang meminati lagu-lagu nasyid telah didekati suspek dengan alasan kononnya mahu membimbingnya ke jalan agama, namun akhirnya membawa kepada satu pengalaman hitam yang amat mengganggu emosi dan masa depan mangsa.
“Remaja ini dibawa ke sebuah negeri lain atas alasan menghadiri persembahan nasyid. Namun, mangsa mendakwa telah diganggu secara seksual oleh ustaz terbabit di dalam sebuah bilik hotel,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Mangsa yang ketakutan bertindak melarikan diri dan mengurung diri di dalam bilik air selama lima jam sebelum berjaya menghubungi ahli keluarga untuk meminta bantuan.
Laporan polis telah dibuat sejurus selepas kejadian.
Nurul Izzah turut mendedahkan bahawa keluarga mangsa, yang berasal daripada golongan B40, dimaklumkan bahawa terdapat beberapa laporan polis terdahulu melibatkan suspek sama, menimbulkan persoalan mengapa tiada tindakan tegas diambil terhadapnya sebelum ini.
Lebih menyedihkan, keluarga mangsa kini pula berdepan saman fitnah bernilai ratusan ribu ringgit oleh ustaz tersebut yang menuntut permohonan maaf secara terbuka menerusi siaran akhbar.
“Remaja ini kini mengalami trauma yang mendalam. Dia perlu menjalani rawatan kaunseling secara berkala, bergantung kepada ubat-ubatan dan prestasi akademiknya turut merosot.
“Cita-citanya untuk menjadi guru juga terjejas akibat kejadian ini,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Nurul Izzah menegaskan beliau tidak akan berdiam diri dan akan terus memperjuangkan keadilan buat mangsa dan keluarganya.
“Saya tidak akan berundur walau selangkah. Saya akan bawa pasukan peguam dan pastikan adik ini mendapat perlindungan serta keadilan sewajarnya. Kebenaran mesti ditegakkan, insya-Allah,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru pihak berkuasa agar mengambil tindakan segera terhadap suspek dan memberi jaminan keselamatan serta keadilan kepada semua mangsa, terutama yang masih di bawah umur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








