Jepun tawar kerjasama nuklear awam kepada negara ASEAN, termasuk Malaysia
KUALA LUMPUR – Jepun sedia bekerjasama dengan negara-negara ASEAN termasuk Malaysia, dalam bidang tenaga nuklear awam bagi mencapai sasaran penyahkarbon dan pembangunan dan lebih mampan.
Menurut Setiausaha Akhbar Kementerian Luar Jepun, Kitagawa Toshihiro, syarikat-syarikat Jepun sangat berminat untuk mempromosikan tenaga nuklear, dengan tumpuan khusus kepada reaktor nuklear berskala kecil.
“Terbaharu, kami telah bersetuju dengan Kanada untuk mempromosikan teknologi reaktor kecil ini. Jadi, kenapa tidak dengan negara-negara ASEAN?” katanya dalam satu sesi taklimat bersama media, malam tadi.
Kitagawa menambah bahawa memandangkan Vietnam dan Jepun telah bersetuju untuk bekerjasama dalam tenaga nuklear awam, kerajaan Jepun mengalu-alukan perbincangan lanjut dengan negara-negara ASEAN lain, termasuk Malaysia.
Beliau bagaimanapun menekankan, sebarang peluasan penggunaan tenaga nuklear perlu disertai dengan pengawalseliaan dan pemantauan yang ketat.
“Kami sangat percaya bahawa penyebaran kuasa nuklear perlu dikawal ketat di bawah Perjanjian Pencegahan Penyebaran Senjata Nuklear (NPT),” katanya lagi.
Beliau kemudian menjelaskan, Jepun terus menyokong penggunaan tenaga nuklear untuk tujuan aman sambil menggesa pemantauan tegas oleh badan antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi menjamin keselamatan dan pematuhan peraturan.
Selain itu, Jepun turut menyokong inisiatif serantau utama seperti Rangkaian Tenaga ASEAN (Asean Power Grid) dan berhasrat untuk memperkukuh hubungan melalui Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) dengan menawarkan sokongan teknikal dan kewangan untuk membantu ekonomi ASEAN menyahkarbon tanpa menjejaskan pembangunan, termasuk melalui sumber tenaga peralihan seperti amonia dan hidrogen.
Semalam, Malaysia dan Amerika Syarikat telah menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Strategik Nuklear Awam (NCMOU) yang bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan nuklear secara aman sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan.
Menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat, kedua-dua negara juga telah memulakan rundingan untuk memeterai perjanjian kerjasama nuklear awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








