‘Terima kasih bantuan kru AirAsia, anak saya hampir tidak bernyawa di udara” – penumpang
KUALA LUMPUR – Seorang ibu muda berkongsi detik cemas apabila anak perempuannya yang berusia setahun tujuh bulan mengalami masalah pernafasan sewaktu dalam penerbangan pesawat AirAsia dari Guangzhou ke Kuala Lumpur, pada awal pagi 4 Julai lalu.
Via Jacyntha Florentius dalam satu hantaran ucapan terima kasihnya kepada kru penerbangan AirAsia AK115 yang terlibat berkata, bantuan cemas yang diberikan telah menyelamatkan anaknya daripada kejadian lebih serius.
Menurut Via, kejadian yang menimpa anaknya, Natashya Sofea berlaku kira-kira sejam setengah selepas pesawat berlepas pada jam 5.55 pagi.
Katanya, Natashya yang tidur dengan nyenyak tiba-tiba terjaga dari tidur dengan tanda-tanda sukar bernafas sehingga wajahnya bertukar menjadi kebiruan.
“Selepas menyusu, dia kelihatan gelisah, sekejap menangis, sekejap diam. Tiba-tiba wajahnya menjadi pucat, bibirnya kebiruan dan dia seolah-olah sukar bernafas.
“Dia kelihatan lemah dan tidak responsif,” katanya ketika menceritakan pengalaman yang tidak dapat dilupakannya itu.
Tanpa berlengah, Via segera meminta bantuan daripada kru kabin yang bertindak pantas dengan memberikan oksigen serta memanggil doktor dalam kalangan penumpang.
Katanya, tindakan profesional dan tenang kru AirAsia telah membantu meredakan keadaan sekaligus menyelamatkan anaknya.
“Selepas diberikan oksigen, keadaan Tashya mula stabil. Seorang doktor yang kebetulan berada dalam pesawat memeriksanya dan juruterbang turut bersetuju menurunkan altitud untuk membantu pernafasan anak saya. Saya sangat terharu,” tambahnya.
Tidak cukup dengan itu katanya, juruterbang kemudian membuat keputusan mengalihkan laluan dan mendarat di Ho Chi Minh City, Vietnam bagi mendapatkan rawatan perubatan segera.
“Sewaktu dalam penerbangan ke Ho Chi Minh, kru terus memantau Tashya, mereka urut tangan dan kaki dia, periksa nadi, malah memberikan kata-kata semangat kepada saya.
“Sebaik mendarat, pasukan perubatan sudah menunggu dan kami dibawa terus ke hospital. Semua ujian penting seperti ECG, X-ray dan ekokardiogram dilakukan dalam masa sejam,” katanya lagi.
Menurut Via, kakitangan AirAsia, termasuk pegawai darat di Ho Chi Minh, Alan Vuu, turut memberi bantuan sepenuhnya sepanjang mereka berada di hospital sehingga dibenarkan pulang.
“Bukan itu sahaja, AirAsia juga menyediakan penerbangan pulang percuma ke Kuala Lumpur untuk beliau dan keluarganya,” katanya.
Dalam hantaran yang dikongsikan lebih 2,200 pengguna Facebook itu, dia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada keseluruhan kru dan petugas AirAsia yang terlibat.
Antaranya Kapten Sangeran Surendran, Pegawai Pertama Muhammad Syafiq Nor’en, Ketua Pramugara Mohd Ridzwan Ong; pramugari, Stephenie Unyang Dungo dan Nurul Nasuha Mohd Maznan; pramugara Amirul Ariffin Junaidi serta kakitangan darat Ho Chi Minh, Alan Vuu yang menyantuni mereka dari awal hingga akhir.
“Saya amat berharap pihak AirAsia dapat memberikan penghargaan atau ganjaran sewajarnya kepada staf-staf yang telah memberikan perkhidmatan luar biasa ini.
“Mereka telah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam situasi yang mencabar ini,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








