TANGGAL 15 Mei 2025 pasti menjadi tarikh yang sukar dilupakan oleh penghuni yang menetap di Youth City Residence, Nilai, Negeri Sembilan.
Ia merupakan malam yang berlainan bagi mereka kerana kesunyian yang sebelum ini menjadi kebiasaan telah berubah menjadi titik hitam disebabkan oleh satu kejadian tembak-menembak.
Insiden tersebut telah menyebabkan dua suspek jenayah bersenjata terbunuh.
Kejadian itu juga telah meninggalkan kesan psikologi kepada penghuni bangunan kediaman berkenaan.
Youth City Residence merupakan sebuah lokasi kediaman moden yang dianggap selamat oleh semua pihak.

Ini kerana, kawasan itu mempunyai kelengkapan seperti kawalan keselamatan, akses kad untuk menaiki lif dan juga mempunyai kamera litar bertutup yang sentiasa berfungsi.
Namun begitu, kelengkapan yang tersedia tidak dapat menghalang untuk kedua-dua penjenayah tersebut masuk ke kawasan kediaman itu.
Persoalan yang mungkin timbul dalam fikiran penghuni di sana adalah ‘bagaimana kediaman yang mempunyai kelengkapan keselamatan 24 jam itu boleh dimasuki oleh penjenayah yang bersenjata?’ dan ‘adakah keselamatan mereka akan terjamin sekiranya terus menetap di situ?’
Kedua-dua suspek yang berjaya ditewaskan oleh pihak polis merupakan lelaki warga tempatan yang berusia 29 dan 40 tahun.
Suspek yang berusia 29 tahun dipercayai memiliki 11 rekod jenayah manakala suspek berusia 40 tahun mempunyai 76 rekod jenayah termasuk jenayah keganasan dan dadah.
Kenyataan itu telah dikemukakan oleh Timbalan Pengarah, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus.
Kehadiran dua suspek jenayah di bangunan itu menimbulkan ancaman besar dan juga kerisauan kepada penghuni yang tinggal di sana.
Bunyi gegaran daripada kes tembakan itu telah menjadikan penghuni yang tinggal di kediaman tersebut mempunyai rasa kurang percaya terhadap jaminan keselamatan mereka.

Perkara ini juga akan menimbulkan rasa trauma kepada mereka terutamanya kanak-kanak dan orang tua yang tinggal di situ.
Akan tetapi ada juga yang berasa lega kerana tindakan pantas pihak polis yang telah berjaya menewaskan penjenayah pada malam itu juga.
Apa itu trauma?
Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, trauma membawa maksud rasa terkejut yang meninggalkan kesan mendalam, menakutkan dan berpanjangan.
Trauma boleh berlaku disebabkan oleh pengalaman yang sangat menakutkan yang telah dialami sendiri oleh seseorang.
Terdapat pelbagai jenis trauma, antaranya adalah trauma akut, trauma kronik dan trauma kompleks.
Trauma boleh disembuhkan tetapi ada yang memerlukan tempoh tersendiri untuk sembuh dan bergantung kepada individu yang mempunyai trauma itu.
Walaupun pihak polis telah berjaya menewaskan kedua-dua suspek, penghuni bangunan Youth City tetap berasa bimbang akan keselamatan mereka kerana lokasi itu dipercayai merupakan tempat persinggahan bagi kedua-dua suspek.
Penghuni membeli rumah di kawasan Youth City untuk merasakan ketenangan dan keselamatan yang terjamin.
Akan tetapi, setelah berlakunya kes tembak menembak tersebut mereka merasakan keraguan dan kebimbangan terhadap keselamatan masing-masing.
Oleh itu, pihak polis telah memberikan jaminan untuk meningkatkan keselamatan dengan melakukan rondaan berkala dan melakukan usaha sama dengan pihak pengurusan kondominium bagi memperketatkan lagi kawalan.
Kesimpulannya, kejadian seperti ini memberitahu kita bahawa jenayah tidak mengenal sempadan. Ia boleh berlaku dimana sahaja walaupun berada di kediaman yang mempunyai pengawal keselamatan.
Trauma yang dialami oleh penghuni bangunan tersebut tidak boleh diabaikan kerana ia akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap mangsa.
Setelah apa yang berlaku di Youth City Residence pada malam itu, ia mengingatkan kita bahawa keamanan boleh diragut dalam masa sekelip mata sahaja.
Oleh NUR HASRINA OSMAN
Pelajar Pengurusan Dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



