Potongan cukai 2 peratus tidak dikenakan kepada ejen meninggal dunia
PUTRAJAYA – Potongan cukai sebanyak dua peratus bagi individu ejen, pengedar atau pengagih (EPP) yang telah meninggal dunia tidak lagi terpakai berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tetapan mengikut bawah Seksyen 107D Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 itu tidak terpakai kerana ia merujuk kepada takrifan individu iaitu orang awam yang masih hidup.
“Sehubungan itu, sekiranya seseorang EPP telah meninggal dunia, mereka tidak lagi dikategorikan sebagai ‘individu’ bagi maksud peruntukan Seksyen 107D.
“Oleh itu, potongan cukai dua peratus tidak lagi dikenakan terhadap bayaran kepada mereka,” menurut kenyataan itu.
Untuk rekod, sebelum ini, syarikat pembayar diwajibkan membuat potongan cukai dua peratus terhadap bayaran tunai yang dibuat kepada EPP yang dilantik atas kapasiti sebagai ejen, pengedar atau pengagih pemastautin, seperti ditetapkan Seksyen 107D ACP.
Potongan cukai 2 peratus itu perlu diremit kepada LHDN dalam tempoh 30 hari selepas pembayaran dibuat.
EPP pula ditakrifkan sebagai individu pemastautin yang diberi kuasa oleh syarikat pembayar untuk menerima bayaran yang terbit daripada hasil jualan, transaksi atau skim yang dijalankan oleh EPP tersebut.
Dalam masa sama, LHDN turut menjelaskan bahawa sekiranya masih terdapat pendapatan diterima selepas kematian EPP, ia hendaklah diuruskan oleh wasi, pentadbir, waris atau wakil sah si mati dan dilaporkan di bawah fail Harta Pusaka (TP).
Untuk tujuan ini, pihak berkaitan diminta mendaftar fail TP di mana-mana pejabat LHDN dengan mengemukakan Borang CP57, disertakan dengan salinan sijil kematian dan surat kuasa mentadbir atau geran probet.
Borang CP57 boleh dimuat turun melalui portal rasmi LHDN di pautan:
🔗 https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfborang/Borang_CP57_1.pdf
Dalam pada itu, LHDN menasihatkan semua syarikat pembayar serta waris atau pentadbir harta pusaka untuk mengambil maklum sepenuhnya akan ketetapan baharu itu dan bertindak sewajarnya mengikut undang-undang serta peraturan percukaian yang berkuat kuasa.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan di talian 03-8911 1000.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















