Pengerusi NGO direman SPRM berkait pengubahan wang haram
PUTRAJAYA – Seorang pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, perintah reman sehingga 28 Jun itu dibenarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dikemukakan di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
“Suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 2.30 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Suspek dipercayai terlibat dalam menerima, memindahkan serta menggunakan wang hasil rasuah menerusi akaun milik peribadi dan beberapa syarikat yang didaftarkan atas nama ahli keluarga dan sekutunya,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, aktiviti tersebut berlaku dalam tempoh sedekad antara tahun 2015 hingga 2025.
“Suspek pernah direman sebelum ini bagi kes berasingan yang disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna kuasa dan penyelewengan dana milik NGO tempatnya berkhidmat,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), SPRM, Norhaizam Muhammad mengesahkan penahanan tersebut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya ringkas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















