BERITA SEMASA

46 pekerja asing rosakkan van kilang direman

SEBERANG PERAI – Seramai 46 pekerja warga asing direman selama empat hari bermula hari ini selepas disyaki terlibat dalam kejadian merosakkan sebuah van kilang di hadapan bangunan The Summit, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada pukul 10.42 malam, membabitkan sekumpulan pekerja asing yang berkumpul di hadapan bangunan berkenaan sebagai tanda protes.

“Siasatan awal mendapati bangunan itu digunakan sebagai asrama pekerja oleh sebuah syarikat di kawasan perindustrian Bukit Minyak.

“Pihak syarikat menetapkan larangan merokok dan pengambilan minuman keras di kawasan asrama yang menyebabkan pekerja tidak puas hati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tindakan pekerja yang tidak mengendah peraturan itu menyebabkan seorang warden bertindak mendenda sekumpulan pekerja.

“Akibat tindakan itu, beberapa pekerja bertindak agresif dengan merosakkan van milik syarikat yang diletakkan di hadapan bangunan,” katanya.

Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi tadi untuk permohonan reman.

“Mahkamah membenarkan kesemua 46 lelaki direman selama empat hari sehingga 24 Jun ini bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan menggunakan senjata berbahaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button