Sindiket seludup ganja menyerupai belacan, bar coklat tumpas di Padang Besar
KANGAR – Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah di sempadan Malaysia-Thailand susulan rampasan pelbagai jenis ganja yang dibungkus menyerupai belacan, bar coklat dan keropok lekor mentah bernilai lebih RM9,000 di Padang Besar, Rabu lalu.
Dalam operasi berkenaan, seorang lelaki warga Thailand turut ditahan ketika cuba membawa bekalan ganja menggunakan perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) menuju ke selatan Semenanjung.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, serbuan dilakukan di Stesen Kereta Api Bukit Keteri selepas pihaknya menerima maklumat berhubung pergerakan suspek yang dipercayai membawa dadah.
“Berdasarkan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek berusia 21 tahun.
“Hasil pemeriksaan ke atas beg galas yang disandangnya menemukan 27 paket plastik berisi tumbuhan hijau disyaki ganja seberat 2.98 kilogram bernilai RM9,238,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek menerima upah melebihi RM1,000 daripada sindiket untuk membawa bekalan ganja berkenaan menaiki ETS.
“Ganja berkenaan dibungkus menyerupai makanan tempatan seperti belacan, bar coklat dan keropok lekor mentah sebagai helah untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Bekalan dipercayai diperoleh dari negara jiran dan menjadikan Perlis sebagai transit sebelum diedar ke negeri-negeri di selatan tanah air,” katanya.
Muhammad menambah, polis turut menahan seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 25 tahun di Alor Setar yang dipercayai turut terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan.
“Hasil saringan awal mendapati suspek utama positif methamphetamine, selain memiliki empat rekod lampau bersabit kes dadah.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas mampu digunakan seramai 29,870 penagih,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








