JENAYAH & MAHKAMAH

Yusoff Rawther dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan tanpa membela diri bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther daripada dua pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan, tahun lalu.

Memetik laporan Astro Awani, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan terhadap tertuduh yang berusia 32 tahun.

Muhammed Yusoff diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman.

Pada 28 April lalu, pendakwaan menutup kes selepas memanggil 13 saksi dalam perbicaraan yang bermula pada 7 April.

Antara saksi itu ialah Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan ahli kimia daripada Jabatan Kimia Malaysia.

Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pukul 10.15 pagi pada 6 September 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.

Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September 2024, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 12 November tahun sama, Mahkamah Majistret membenarkan kes mengedar dadah jenis kanabis membabitkan Muhammed Yusoff dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button