AS ugut jika negara hadir sidang PBB isu Palestin
NEW YORK – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengeluarkan amaran keras kepada negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar tidak menyertai sidang khas di New York minggu hadapan.
Sidang tersebut membincangkan inisiatif penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin yang semakin mendapat sokongan komuniti antarabangsa.
Menurut laporan Reuters, Washington menyatakan sebarang bentuk sokongan unilateral terhadap Palestin akan dianggap bertentangan dengan dasar luar Amerika Syarikat.
“Kami tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana negara yang menentang kepentingan Israel. Tindakan seperti itu akan dianggap mencabar dasar luar Amerika Syarikat,” katanya.
Amaran itu dilihat sebagai satu bentuk tekanan diplomatik terhadap negara-negara yang berhasrat menyokong usaha pengiktirafan negara Palestin tanpa persetujuan Israel.
Dalam kenyataan berasingan, Washington turut menolak sebarang bentuk pengiktirafan terhadap Palestin.
“Ini bercanggah dengan pendekatan diplomatik dua hala yang menjadi asas rundingan damai,” jelasnya.
Menurut Duta Amerika Syarikat ke Israel, Mike Huckabee, penubuhan negara Palestin tidak lagi menjadi keutamaan dalam dasar luar Amerika Syarikat.
“Saya tidak percaya lagi bahawa penubuhan negara Palestin adalah keutamaan Amerika Syarikat dalam hal ehwal luar,” ujarnya.
Walaubagaimanapun, Jabatan Negara menolak kenyataan tersebut sebagai pandangan rasmi dan menyifatkannya sebagai pendapat individu semata-mata.
“Kenyataan tersebut hanyalah pendapat peribadi beliau dan tidak mewakili dasar rasmi pentadbiran Presiden Trump,” katanya.
Trump mengundang kritikan apabila mengusulkan agar Amerika Syarikat mengambil peranan langsung dalam mengawal wilayah Gaza.
Cadangan itu mengundang kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk PBB, pertubuhan hak asasi manusia, negara-negara Arab dan kepimpinan Palestin sendiri.
Sidang PBB yang dijadual berlangsung pada Jun 2025 dijangka menjadi medan penting bagi menyatukan semula sokongan antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara.
Sementara itu, kerajaan Israel pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu kekal menolak penubuhan negara Palestin secara terbuka.
“Penubuhan negara Palestin bukan sahaja tidak menjamin keamanan, malah mengancam keselamatan jangka panjang Israel,” katanya dalam satu kenyataan.
Dasar rasmi kerajaan Israel serta sokongan majoriti dalam Parlimen Knesset memperkukuh penolakan terhadap penyelesaian dua negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














