BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAAN

ALI2024 angkat bakat muda, KBS komited tahun kedua

PUCHONG – Anugerah Lagu Indie 2024 (ALI2024) dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) buat tahun kedua mengukuhkan komitmen kerajaan dalam memperkasa industri seni kreatif anak muda di Malaysia.

Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, penglibatan KBS dalam ALI2024 sebahagian daripada usaha kementerian menyediakan ruang bagi anak muda mengekspresikan kreativiti secara bebas.

“Muzik indie bukan sekadar hiburan. Ia adalah suara anak muda yang mencerminkan harapan dan realiti generasi hari ini.

“Kami di KBS percaya ruang seperti Anugerah Lagu Indie ini penting untuk mencungkil potensi besar yang mungkin tidak mendapat tempat dalam saluran komersial arus perdana,” katanya ketika majlis pengumuman senarai finalis ALI2024.

Pentas akhir ALI2024 dijadual berlangsung pada 27 Julai ini, dengan lima finalis bersaing dalam setiap kategori utama iaitu pop, rock dan hip hop.

Acara itu menjadi antara tumpuan utama dalam kalendar muzik alternatif tanah air dan diiktiraf sebagai salah satu platform berprestij buat pemuzik bebas tempatan.

Penerbit Eksekutif Bersama ALI, Jennifer Thompson, menyifatkan edisi kali ini sebagai jumlah penyertaan yang tinggi serta peningkatan ketara dari segi mutu dan keaslian karya.

“Kami melihat bagaimana anak-anak muda ini mengolah cerita mereka menjadi lagu – menyentuh isu sosial, peribadi dan budaya dengan cara yang jujur dan berani.

“Ada suara-suara baharu yang kami percaya mampu mencorak masa depan industri muzik negara,” katanya.

Tambah Jennifer, kerjasama strategik dengan KBS bantu memperkukuh struktur pertandingan serta memberi impak kepada pembangunan jangka panjang artis-artis indie.

“Sokongan KBS bukan hanya pada bentuk penganjuran, tetapi turut menambah nilai dari sudut bimbingan, pengiktirafan dan kesinambungan kerjaya pemuzik bebas,” ujarnya.

Sebanyak RM36,000 wang tunai ditawarkan kepada para pemenang. Anugerah lagu terbaik menawarkan hadiah utama bernilai RM15,000 berserta trofi.

Lima kategori lain turut dipertandingkan persembahan terbaik; pop terbaik; rock terbaik dan hip hop terbaik masing-masing dengan hadiah RM5,000.

Sementara itu, kategori khas “Lagu Terpaling Platinum Cik” menyediakan ganjaran RM1,000 sebagai pengiktirafan terhadap lagu yang mencipta impak luar biasa secara digital.

Penilaian akhir akan dijalankan oleh barisan juri profesional yang merangkumi penggiat industri dan tokoh akademik dalam bidang muzik.

Antara yang terlibat termasuk AG Coco; Irena Taib; Leaism; Loy Ekzan; Luca Sickta; Dr. Muhammad Sayyid Shafiee; Roshan Jamrock dan Wing Meng.

Gabungan kepakaran itu menyumbang kepada penilaian yang seimbang dan telus, sejajar dengan matlamat ALI untuk mengekalkan standard profesional serta kredibiliti dalam dunia muzik bebas.

ALI2024 bukan sekadar pertandingan, tetapi usaha berterusan membangunkan muzik alternatif sebagai sebahagian penting dalam ekosistem seni negara.

Sokongan berterusan KBS tahun kedua mengukuhkan kedudukan anugerah itu sebagai platform utama bagi mengetengahkan bakat generasi baharu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button