BERITA SEMASADALAM NEGERI

Mangsa kemalangan bas UPSI seorang hafizah Quran

JERTEH- Salah seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Gerik, Perak awal pagi semalam merupakan hafizah Quran.

Perkara itu dikongsikan oleh EXCO Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi.

“Dia seorang hafizah. 30 juzuk Kitab Allah dalam dada. Semoga al-Quran menjadi cahaya yang menerangi kuburmu, wahai Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman,” tulis beliau menerusi satu hantaran di Facebook selepas menghadiri solat jenazah 13 penuntut UPSI di Masjid Hadhari, Jerteh, pagi tadi.

Mohd Farid Firdaus menunjukkan gambar adiknya, Allahyarhamah Nurly Shahirah yang terkorban dalam nahas bas di Gerik, Perak awal pagi semalam. – Foto Utusan

Jenazah Allahyarhamah Nurly Shahirah tiba dari Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak dan disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gong Pasir, di sini pukul 4 pagi tadi.

Nurly Shahirah, 23, merupakan salah seorang daripada 15 pelajar UPSI yang meninggal dunia dalam tragedi di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, awal pagi semalam.

Sementara itu, media tempatan melaporkan, abang Allahyarhamah, Mohd Farid Firdaus Azman, 35, berkata, adiknya bercita-cita mahu menjadi guru pendidikan khas dan dijadualkan menjalani latihan praktikal bermula Ogos depan.

“Arwah simpan cita-citanya sejak kecil untuk jadi pendidik dan kami sekeluarga amat terkejut dengan tragedi ini.

“Walaupun Nurly merupakan harapan keluarga, kami sekeluarga redha dengan takdir yang menimpa,” katanya.

Allahyarham Nurly Shahirah merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Besut dan Allahyarhamah sering mengamalkan bacaan Al-Quran setiap malam sejak kecil.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button