Nahas bas UPSI: Dua ahli keluarga pemandu Perodua Alza parah
KUALA LUMPUR – Dua daripada empat sekeluarga yang menaiki Perodua Alza yang turut terlibat dalam kemalangan dengan bas sewa khas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengalami cedera parah.
Keadaan keluarga tersebut dikongsikan seorang pengguna Facebook, Mohd Zaidi Desa yang mengenali pemandu MPV berkenaan iaitu Mohd Lutfi Radzi, 37.

Katanya, antara yang parah dalam kemalangan itu adalah isteri kepada pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan, Nurul Ain Zakaria, 35; dan anak lelakinya, Muhammad Ahsan Nafis, 2, yang kini dirawat di Hospital Baling, Kedah.
Katanya, dalam kejadian itu, isteri mangsa patah lima tulang rusuk, anak perempuannya Nur Aisyah Nafishah, 6, patah tulang lutut dan anak lelaki berusia dua tahun yang tercampak keluar dari kereta akibat impak pelanggaran.
“Mohon doakan Ustaz Lutfi dan keluarganya. Ustaz merupakan guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan Malau, Kedah.
“Anak perempuannya patah tulang lutut, isteri patah lima tulang rusuk,” tulis Mohd Zaidi.
Hantaran tersebut meraih 25,000 reaksi, 964 komen dan 6,200 perkongsian.
BACA : Nahas penuntut UPSI: Lebih 3000 solatkan jenazah 13 mangsa di Masjid Hadhari
“Semua fokus pada bas dan yang meninggal. Tapi berita tak ada pun cover pada ustaz ni. Moga Allah kurniakan kesembuhan dan dipermudahkan buat ustaz sekeluarga,” komen Faiez Rahman.
Terdahulu media melaporkan, kemalangan bas sewa khas yang membawa 42 pelajar UPSI berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), dekat Gerik, Perak pada awal pagi Isnin menyebabkan 15 pelajar meninggal dunia manakala 27 yang lain cedera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




