BERITA SEMASADALAM NEGERI

Bas dipandu laju, berbahaya sebelum terbalik – mangsa nahas bas UPSI

GERIK – Mangsa terselamat dalam tragedi kemalangan bas sewa khas yang membawa sekumpulan pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) mendakwa, bas tersebut dipandu secara laju dan berbahaya sebelum terbalik.

Dalam satu rakaman video yang tular di media sosial, Aleeya Maisarah Azizzani berkongsi pengalaman berdepan detik mencemaskan itu.

Menurutnya, perjalanan menaiki bas sewa itu bermula sebaik kumpulan penumpang berkumpul pada jam 9 malam.

Aleeya Maisarah

“Mulanya saya ada terbau macam hangit ketika di Tanah Merah, manakala beberapa rakan lain sudah menghidu bau tersebut seawal di Jerteh.

“Kemudian, semasa di Jeli, pemandu bawa laju sangat. Bila lalu kawasan ada lopak atau lubang, bas macam nak terjatuh ke kanan. Saya duduk sebelah kanan, memang rasa berdebar sangat. Saya terus selawat,” katanya.

Selepas kejadian nyaris terbalik itu, bas dikatakan dipandu perlahan seketika sebelum pemandu kembali memecut dengan kelajuan yang mencemaskan.

BACA : Nahas UPSI: Sebahagian mangsa masih kritikal, dirawat di hospital

“Tiba-tiba dia bawa laju balik. Sampai semua orang risau. Bila sampai di selekoh, bas terus terbalik ke kiri,” jelas Aleeya yang tidak menyedari dengan jelas sekiranya berlaku pelanggaran dengan mana-mana kenderaan lain sebelum itu.

Katanya, suasana dalam bas selepas kemalangan digambarkan sebagai huru-hara dan memilukan.

“Jeritan meminta tolong daripada penumpang yang tersepit masih segar dalam ingatan.

“Saya dengar suara meronta-ronta meminta tolong, tapi memang saya tak boleh nak tolong. Belakang saya sakit sangat, saya cuma mampu selamatkan diri sendiri,” luah Aleeya dalam nada sedih.

Setakat ini, pihak berkuasa mengesahkan 14 pelajar dan seorang kelindan bas maut, manakala puluhan yang lain masih dirawat di hospital.

Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk aspek penyelenggaraan bas dan kelayakan pemandu.

Terdahulu, media melaporkan kemalangan yang berlaku pada pukul 1 pagi di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak itu menyebabkan ramai yang terkorban.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button