BERITA SEMASADALAM NEGERI

Subsidi LPG: Pindaan PKPB 2021 langkah progresif lindungi peniaga kecil, kewangan negara

PUTRAJAYA – Keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju untuk melaksanakan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 disifatkan sebagai satu langkah strategik dan seimbang dalam usaha melindungi kelangsungan perniagaan mikro serta memastikan tadbir urus subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG) kekal efisien dan berkesan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, pindaan tersebut akan memberi impak langsung kepada perniagaan kecil dan mikro, khususnya dalam sektor makanan dan minuman yang merupakan pengguna utama LPG bersubsidi.

Dr. Umi Hamidaton

“Jika tidak ditangani dengan teliti, pengetatan atau pemberhentian subsidi boleh menyebabkan peningkatan kos operasi harian, margin keuntungan yang lebih kecil dan seterusnya menjejaskan daya saing perniagaan mikro yang memang sedia beroperasi dengan keuntungan yang sangat minima,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Namun begitu, beliau menyokong pendekatan kerajaan yang turut mengambil kira kebajikan peniaga kecil dengan memberi pengecualian sementara melalui OPS GASAK, selain membenarkan mereka terus mendapatkan bekalan LPG bersubsidi tanpa permit buat masa ini.

“Langkah ini menunjukkan keseimbangan yang baik iaitu kerajaan mahu memperbaiki ketirisan dan salah guna subsidi, tetapi dalam masa yang sama tidak menekan peniaga kecil secara mendadak,” ujar beliau.

Dr. Umi Hamidaton turut menegaskan bahawa tanpa kawalan yang ketat, pemberian subsidi seperti LPG berisiko tinggi untuk disalah guna oleh pihak industri atau sindiket tertentu.

“Ketirisan subsidi adalah antara isu yang memberi kesan besar kepada ekonomi negara.

“Ia akan meningkatkan beban fiskal kerajaan dan membantutkan usaha untuk menyalurkan bantuan kepada kumpulan benar-benar layak.

“Oleh itu, kita perlu tadbir urus yang cekap agar subsidi sampai kepada sasaran,” katanya.

Tanpa kawalan ketat, pemberian subsidi seperti LPG berisiko tinggi disalah guna oleh pihak industri atau sindiket tertentu. – Gambar hiasan

Beliau menambah bahawa pengurangan subsidi secara berperingkat dan bersasar merupakan langkah jangka panjang yang baik untuk mengurangkan beban fiskal negara, sekali gus meningkatkan kecekapan agihan sumber.

Bagi memastikan keseimbangan antara keperluan peniaga kecil dan kawalan ketirisan, beliau mencadangkan pelaksanaan audit berkala, pemantauan fizikal di lapangan serta penerapan sistem elektronik yang memantau penggunaan subsidi LPG.

BACA : Subsidi silinder LPG: Jemaah Menteri setuju pinda akta kawalan bekalan

“Pihak penguasa perlu lebih proaktif dan turun padang. Pada masa sama, pendidikan kepada pengguna juga penting kerana mereka perlu faham syarat subsidi dan kesannya jika berlaku salah guna. Ini akan wujudkan kesedaran kolektif,” jelasnya lagi.

Sebagai strategi jangka panjang, Dr. Umi Hamidaton mencadangkan penggunaan teknologi digital dan pengintegrasian data antara agensi bagi mengenal pasti kumpulan sasaran yang benar-benar layak menerima subsidi.

“Sudah ada cadangan untuk memperkenalkan kad subsidi dan ia boleh diintegrasikan dengan sistem digital sedia ada bagi memudahkan pemantauan serta memastikan hanya yang layak menerima bantuan,” katanya.

Jika pemberian subsidi dikurangkan, beliau menyarankan agar kerajaan menyediakan alternatif bantuan bersasar seperti bantuan tunai berkala untuk peniaga mikro dan kecil, di samping merangka peralihan jangka panjang ke arah penggunaan tenaga alternatif.

“Tindakan kerajaan meminda PPKB (Pindaan) 2021 bukan sekadar usaha penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga langkah berhemah dalam mengimbangi kepentingan ekonomi negara dan keperluan rakyat marhaen.

“Melalui strategi bersasar dan tadbir urus subsidi yang lebih cekap, Malaysia mampu mewujudkan ekosistem perniagaan kecil yang lebih mampan, telus, dan kompetitif untuk jangka masa panjang,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button