Op Starlight III: ATM rawat 3,562 pesakit di Myanmar
Pasukan perubatan ATM tamatkan misi 45 hari di Myanmar bantu mangsa gempa bumi
SHAH ALAM – Seramai 3,562 pesakit dirawat, manakala 493 prosedur pembedahan berjaya dilaksanakan sepanjang pelaksanaan Operasi Starlight III oleh Pasukan Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Myanmar susulan gempa bumi kuat pada 28 Mac lalu.
Komander Hospital Medan Malaysia (HMM) Ops Starlight III, Kolonel Dr Ahmad Farhan Ahmad Fuad, 43, berkata misi bantuan kemanusiaan yang bermula 18 April lalu berjalan lancar meskipun berdepan cabaran keselamatan akibat situasi politik yang tidak menentu di negara berkenaan.
“Saya ucapkan jutaan terima kasih kerana memberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat Myanmar. Kita datang atas dasar kemanusiaan kerana bencana gempa bumi, dan berada di sana selama 45 hari.
“Daripada jumlah itu, kami beroperasi selama 38 hari dan berjaya merawat 3,706 pesakit terdiri daripada rakyat tempatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerimaan Tim HMM Op Starlight III, di sini.
Baca juga : Hospital Medan Malaysia di Myanmar terima lebih 500 pesakit luar
Terdahulu, pasukan yang terdiri daripada 69 anggota termasuk 16 pegawai dan 53 anggota pelbagai kepakaran itu tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira 8.30 malam tadi menaiki dua pesawat khas dan disambut Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman.
Dr Ahmad berkata, kehadiran pasukan perubatan ATM di kawasan terjejas turut memberikan rakyat Myanmar satu alternatif rawatan kesihatan ketika sistem kesihatan negara itu terjejas akibat gempa bumi.
“Dengan kehadiran kita, ia dapat mengurangkan beban hospital tempatan dan memberi pilihan kepada rakyat Myanmar yang sebelum ini takut untuk mendapatkan rawatan akibat isu keselamatan dalaman.
“Apabila kita mulakan operasi, mereka rasa selamat dan kehadiran kita ibarat memberi harapan baharu,” katanya.

Menurutnya lagi, pelaksanaan operasi turut dipermudah dengan kerjasama erat pihak berkuasa tempatan yang memberi sokongan dari segi keselamatan dan fasiliti sepanjang tempoh operasi.
“Walaupun negara mereka bergolak, kehadiran kita seperti menjadi orang tengah damai. Kita tahu ada gencatan senjata sehingga akhir April, tetapi hasil peranan diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama kerajaan Myanmar, ia dilanjutkan sehingga 28 Mei.
“Dari awal sampai akhir, kita bekerja rapat dengan pihak berkuasa tempatan atas mandat yang diberi. Tambahan pula Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, jadi ia memberi kelebihan kepada usaha diplomatik kita di lapangan,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Myanmar dan pihak keselamatan tempatan yang memastikan keselamatan pasukan sepanjang misi, sekali gus membolehkan mereka kembali ke tanah air dalam keadaan selamat.
“Pihak berkuasa tempatan beri jaminan keselamatan, dan mereka telah buktikan dengan membenarkan kami beroperasi tanpa gangguan. Semua anggota kami juga selamat pulang ke tanah air,” katanya.
Operasi Starlight III merupakan kesinambungan komitmen Malaysia dalam misi bantuan kemanusiaan antarabangsa dan memperkukuh hubungan dua hala dengan Myanmar atas dasar kemanusiaan sejagat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








