PIR dijenamakan semula, fokus penjagaan pemulihan
KUALA LUMPUR – Premier Integrated Rehab (PIR) yang dahulunya dikenali sebagai Pantai Integrated Rehab melancarkan penjenamaan semula dengan memberi fokus kepada aspek penjagaan pemulihan.
Penjenamaan semula syarikat milik IHH Healthcare Berhad, penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan terbesar di dunia yang beribu pejabat di Kuala Lumpur itu dilancarkan sempena ulang tahun 25, baru-baru ini.
Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Nor Azimi binti Yunus.
Ketua Ambulatori, Kesihatan Bersekutu & Perkhidmatan Sokongan IHH Healthcare Malaysia, Hareeff Muhammed berkata, penjenamaan semula itu mencerminkan tekad PIR untuk terus maju seiring perubahan landskap penjagaan kesihatan negara.
“Selama dua dekad setengah, kami telah memainkan peranan penting dalam menyokong masyarakat melalui fasa-fasa pemulihan.
“Identiti baharu ini menandakan permulaan yang lebih luas dalam usaha kami membina sistem pemulihan yang inklusif dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hadir sama pada majlis itu Penolong Naib Residen Premier Integrated Rehab Sdn. Bhd, Halizahanim Hassan.
Di Malaysia, IHH Healthcare mengendalikan pelbagai jenama hospital dan pusat perubatan antaranya Pantai Hospital, Gleneagles Hospital, Prince Court Medical Centre dan Timberland Medical Centre.
Menurut Hareeff, model penjagaan PIR kini mengutamakan pendekatan pemulihan berasaskan nilai dengan tumpuan kepada amalan klinikal bersandarkan bukti dan pencapaian hasil rawatan.
Sempena penjenamaan baharu itu katanya, PIR turut memperkenalkan TheraGo, iaitu perkhidmatan pemulihan mudah alih yang membawa rawatan terus ke lokasi tempat kerja.
“Inisiatif ini membolehkan organisasi menawarkan sesi fisioterapi, penilaian ergonomik dan penjagaan pencegahan kepada pekerja mereka secara langsung, selari dengan amalan kesihatan korporat moden.
“Selain aspek klinikal, PIR juga aktif menjalin kerjasama dengan komuniti, institusi pengajian tinggi dan program outreach, terutamanya di kawasan luar bandar dan berpendapatan rendah,” ujarnya.
Sementara itu katanya, PIR turut mengalu-alukan penyertaan dan kolaborasi daripada pengamal perubatan, syarikat insurans, korporat dan pembuat dasar untuk memperkukuh ekosistem rawatan pemulihan di Malaysia.
“Melalui kerjasama strategik, kita boleh memperluas akses, menjamin kesinambungan dan memperkukuh keseragaman dalam perkhidmatan pemulihan,” tambah Hareeff.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








