BERITA SEMASA

ShowTech MARDI 2025 buka peluang perluas inovasi pertanian tempatan

SERDANG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPTM) terus komited untuk memperluas penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian negara bagi mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import.

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, penganjuran ShowTech MARDI 2025 yang berlangsung di MAEPS Serdang selama lima hari bermula hari ini menjadi platform penting dalam mengetengahkan hasil inovasi serta teknologi pertanian yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Arthur melawat sekitar pameran

“Ini kali kedua ShowTech dianjurkan selepas kali pertama pada tahun 2023. Tujuannya adalah untuk memperkenalkan pelbagai hasil ciptaan dan inovasi pertanian kepada pemain industri, seterusnya membuka ruang kepada proses pengkomersialan.

“Daripada segi sumbangan, sektor pertanian dan agromakanan negara menyumbang RM122 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu, dengan peningkatan sebanyak RM405.2 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan ShowTech MARDI 2025, di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui Malaysia masih berdepan cabaran besar apabila terlalu bergantung kepada makanan import.

Pempamir memberi penerangan produk kepada Timbalan Menteri

“Kita membelanjakan sebanyak RM93 bilion setahun untuk makanan import, manakala eksport makanan kita hanya sekitar RM50 bilion.

“Ini menyebabkan kita berdepan defisit hampir RM40 bilion setahun.

“Oleh itu, kita tidak boleh lagi bergantung kepada cara lama atau kaedah pertanian konvensional. Kita perlu beralih kepada pendekatan moden yang lebih berkesan,” katanya lagi.

Menurut beliau, antara langkah yang diambil adalah meningkatkan penggunaan teknologi moden seperti mekanisasi, automasi dan penggunaan varieti tanaman yang lebih tahan dengan perubahan iklim.

“Pameran seperti ShowTech penting untuk mempertemukan pengkaji dan pencipta teknologi dengan penggiat industri supaya teknologi ini boleh terus digunakan di lapangan.

“Selain itu, kita juga mahu bantu mengkomersialkan hasil-hasil ciptaan MARDI agar ia boleh diguna pakai secara meluas dan meningkatkan hasil pertanian negara.

“Setakat ini, lebih 100 hasil inovasi sedang dalam proses pengkomersialan,” katanya lagi.

Arthur berkata, antara kejayaan terbesar MARDI adalah menghasilkan 506 jenis padi dan lebih 90 peratus daripadanya telah digunakan oleh petani dalam negara.

“MARDI juga berjaya menghasilkan kepelbagaian baharu bagi tanaman nanas, kelapa dan bawang merah.

“Malah, bawang merah ciptaan MARDI kini menerima sambutan sangat luar biasa dan kita berharap ia dapat membantu kurangkan kebergantungan kepada import,” katanya lagi.

ShowTech MARDI 2025 berlangsung dari 29 Mei hingga 2 Jun dibuka kepada orang ramai dan pihak industri yang berminat meneroka teknologi pertanian terkini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button