POLITIK

Walaupun berada di luar, Rafizi akan terus bentuk masa depan negara – Nurul Izzah

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan Rafizi Ramli sebagai individu yang tidak pernah gentar berhadapan dengan kuasa dan tidak pernah takut untuk menyatakan kebenaran.

Nurul Izzah berkata, Rafizi telah memperkenalkan gagasan dan dasar yang mengubah wacana, khususnya tadbir urus, ketelusan, dan keadilan ekonomi.

“Saya menghormatinya. Banyak idea beliau, yang tidak akan dilupakan, malah akan diteruskan, diperhalusi dan dilaksana, bukan kerana ia datang daripada beliau atau saya, tetapi kerana ia adalah yang terbaik untuk Malaysia.

“Pemikiran seperti Rafizi akan sentiasa menjadi kekuatan, sama ada berada dalam kerajaan atau tidak.

“Negara memerlukan idea dan langkah yang berani dan saya percaya beliau masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Izzah berkata, beliau yakin walaupun berada di luar kerajaan, Rafizi akan terus membentuk masa depan negara ini dengan cara yang bermakna.

“Fokus saya kekal pada usaha memperkukuh parti. Kami akan terus memastikan pimpinan tertinggi parti sentiasa dipantau dengan baik dan saya berazam untuk memastikan kerja-kerja penting terus dilaksanakan.

“Tanggungjawab kita untuk sentiasa saling mengingatkan bahawa kita tidak boleh lari daripada nilai dan prinsip yang kita pegang dan perjuangkan selama ini,” katanya.

Sebagai langkah awal, katanya, pihaknya akan memperkenalkan latihan wajib, khusus kepada semua pemimpin parti, di peringkat pusat, negeri dan cabang tentang undang-undang berkaitan pengubahan wang haram (AMLA), rasuah dan pematuhan cukai.

Ini kerana katanya, tadbir urus yang baik seharusnya dibina atas asas prinsip dan ilmu yang kukuh.

“Ini penting untuk mengelakkan usaha membudayakan politik wang dan salah laku serta memastikan semua pimpinan memahami tanggungjawab dan memelihara integriti mereka.

“Kita seharusnya menjadi contoh kepada perubahan yang ingin kita lihat dalam diri orang lain,” katanya.

Terdahulu Rafizi mengumumkan peletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi hari ini.

Rafizi sebelum ini pernah mengumumkan untuk melepaskan jawatan itu sekiranya tewas dalam pemilihan parti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button