51 syarikat terima anugerah IDEA 2025, angkat etika Islam dalam keusahawanan
PUTRAJAYA — Sebanyak 51 syarikat dan usahawan menerima pengiktirafan menerusi Islamic Distinguished Enterprise Award (IDEA 2025) sebagai penghargaan kepada entiti yang menerapkan prinsip perniagaan moden berteraskan etika Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, penganjuran anugerah itu menjadi platform untuk menonjolkan keupayaan nilai Islam dalam membentuk perniagaan yang berdaya saing di peringkat global.
“Kepimpinan dan kuasa bukan hanya tanggungjawab duniawi, malah akan dipersoalkan di akhirat. Malaysia MADANI menekankan ihsan sebagai kunci kemampanan, dengan integriti dan tanggungjawab sebagai tunjang utama,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis penyampaian anugerah itu di sini, baru-baru ini.
Beliau turut memuji penggunaan sistem CTOS dalam proses penjurian, yang disifatkan menambah ketelusan dan menjadikan anugerah itu satu gerakan memperkasa ekonomi ummah.
“CTOS bukan hanya penyedia data tetapi penjaga amanah, membantu kita membuat keputusan yang adil dan bertanggungjawab,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tunku Laksamana Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Utama Naquiyudin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar yang berkenan menyampaikan anugerah kepada para penerima.
IDEA 2025 menghimpunkan tokoh industri tempatan dan antarabangsa termasuk Muslim Pro (Singapura), Human Appeal (Australia) dan ZTE (China), sekali gus memperkukuh kedudukan anugerah itu sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap syarikat berteraskan nilai Islam.

Bagi penerima Distinguished Consumer Confidence Award yang yang juga pemilik Hotel Teedo, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menyifatkan pencapaiannya itu sebagai kejayaan berpasukan.
Beliau turut berharap lebih banyak hotel mampu milik ditawarkan di negara ini, terutamanya bagi tujuan persinggahan jangka pendek.
“Saya lihat keperluan terhadap hotel tiga bintang semakin meningkat kerana ia lebih mudah diakses oleh pelancong dan rakyat tempatan,” katanya.

Turut menerima anugerah ialah pengasas MBG Fruit, Adnan Lee yang menerima Distinguished Halal Brand IDEA Award.
Sepanjang penglibatannya dalam perniagaan buah-buahan sejak usia 19 tahun, beliau yang memeluk Islam sejak muda menyifatkan skop perniagaan tersebut sangat luas kerana buah boleh dijual kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kaum dan agama.
“Antara benda pertama yang kita makan selepas lahir adalah buah dan mungkin jika kita sudah nak meninggal pun kita boleh makan buah jadi ia satu perniagaan yang sangat luas,”katanya yang kini mengendalikan lebih 40 cawangan kedai buah di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















